malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno Padang Rengas diarah mohon permit polis
Diterbitkan:  Mar 17, 2017 6:17 PM
Dikemaskini: 11:43 AM
ADS

Umno bahagian Padang Rengas diarah membuat permohonan polis bagi mendapatkan permit untuk majlis perdebatan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dijadual minggu depan.

Mohamed Nazri yang juga anggota Parlimen Padang Rengas berkata beliau mengarahkan Setiausaha Umno bahagian Padang Rengas bagi mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa hari ini.

Selain itu, Mohamed Nazri berkata majlis debat itu tidak ada kena mengena dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) kerana penganjurannya adalah untuk tujuan wacana.

"Program ini tidak ada kena mengena dengan Akta Perhimpunan Aman kerana kita bukan adakan demonstrasi.

"Saya yang bentang akta ini (APA 2012) saya tahu... apa yang kita nak adakan ini wacana bukan demonstrasi. Kalau demonstrasi memang di bawah Akta Perhimpunan Aman," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Menteri Pelancongan dan Kebudayaan di Tapak Perang Dunia Kedua "Battel of Kampar" di Kampar hari ini.

Pemangku Ketua Polis Negeri Datuk Hasnan Hassan sebelum itu berkata setakat ini tiada pihak memohon permit perhimpunan untuk majlis berkenaan yang dilaporkan akan berlangsung pada pukul 3 petang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar 25 Mac ini.

"Sekiranya ia berlangsung tanpa kebenaran polis, maka ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012)," katanya dalam kenyataan pagi tadi sambil menambah bahawa sekolah adalah kawasan larangan mengikut Jadual Pertama Seksyen 3 APA 2012.

Justeru, katanya, polis boleh mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menghadiri majlis itu kerana berhimpun di tempat larangan dan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 9(5) APA 2012.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri yang juga ketua Umno bahagian Padang Rengas meminta penyokong Barisan Nasional supaya tidak menghadiri wacana itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Nama saya Nazri saya tidak pernah lari dan berbahas bukan perkara baru kepada saya sejak tahun 2001 saya sudah berbahas dengan banyak pihak termasuk (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata beliau sentiasa menghormati Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin negara, namun sebagai sebahagian daripada kerajaan, beliau perlu menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan.

- Bernama
 

Lihat Komen