malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Anggota parlimen pembangkang menggesa Kementerian Pengajian Tinggi tidak meneruskan cadangan untuk memulihkan projek hab pendidikan di Terengganu.

Wakil dari Pandan, Rafizi Ramli, berkata menteri terbabit, Datuk Seri Idris Jusoh, perlu menarik diri daripada membuat sebarang keputusan mengenai Taman Ilmu di Besut itu.

Alasannya, kata Rafizi, projek berkenaan diilhamkan ketika Idris menjadi menteri besar Terengganu.

"Jadi, ada konflik kepentingan. Jika Idris jujur, beliau akan menarik diri daripada membuat sebarang keputusan mengenai Taman Ilmu," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pada 1 Februari lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dilaporkan berkata, rundingan sedang dijalankan dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi meneruskan projek Taman Ilmu.

Kata Ahmad Razif, projek bernilai RM300 juta yang dimulakan pada 2004 itu dijangka siap Oktober ini.

Pembangunan Taman Ilmu tergendala apabila Datuk Seri Ahmad Said - yang juga seteru Idris dalam Umno - dilantik menjadi menteri besar selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Projek itu dilaksanakan di bawah Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melibatkan kawasan seluas 770 ekar di mukim Temila, Besut.

Kata Rafizi, pihaknya mengingatkan Idris supaya tidak menggunakan peruntukan kementerian bagi meneruskan projek terbabit.

Tambahan pula, katanya, ketika ini peruntukan kepada kementerian berkenaan dipotong oleh kerajaan.

Sementara itu Raja Kamarul Bahrin berkata kos projek itu kini dikatakan menelan belanja RM872 juta.

Memetik sumber yang tidak didedahkan, beliau berkata, RM230 juta daripadanya diperlukan untuk proses membaik pulih kemudahan dan menggantikan peralatan yang rosak atau dicuri.

ADUN Batu Burok, Terengganu, yang turut hadir pada sidang media itu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, menjelaskan peruntukan membaik pulih itu saja sebenarnya mencukupi untuk membinca sebuah universiti baru.

[Baca berita asal]

Lihat Komen