malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas ADUN PKR disiasat polis
Diterbitkan:  Mar 15, 2017 11:38 AM
Dikemaskini: 3:41 AM
ADS

Polis Pulau Pinang menyiasat seorang bekas ADUN PKR kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap jelik mengenai Islam pada akaun Facebooknya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata siasatan ke atas S Raveentharan itu dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaitan perbuatan mengeluarkan perkataan atau seumpamanya dengan sengaja berniat untuk melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mior Faridalatrash berkata bekas ADUN Batu Uban itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian atas talian.

Mengikut peruntukan itu, Raveentharan boleh didenda RM50,000 atau setahun penjara.

Kata Mior Faridalatrash, polis menerima aduan daripada wakil sebuah pertubuhan pada petang 13 Mac yang mendakwa menemui akaun Raveentharan Subramaniam ketika melayari Internet.

Menurutnya, pada akaun itu tertera kenyataan mendakwa "Islam tidak pernah menjadi agama kedamaian".

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada laporan berita atas talian yang memetik penceramah Zakir Naik yang melabel pengkritiknya sebagai "pengganas".

Kata Mior Faridalatrash, pengadu mendapati kenyataan tersebut bersifat "perovokatif" dan boleh mengancam keharmonian masyarakat.

"Polis sedang menjalankan siasatan dan ketika ini mengumpul keterangan berhubung isu berkenaan.

"Kami akan menyerahkan keputusan siasatan kepada pejabat pendakwa raya tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu Raveentharan - seorang peguam - sudah meminta maaf atas kenyataannya itu. Status itu juga dipadam dari akaun Facebooknya.

PKR menggugurkan Raveentharan daripada menjadi calon mereka pada pilihan raya umum lalu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen