malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akta 355: Pendirian PKR tak berubah
Diterbitkan:  Mar 14, 2017 4:19 PM
Dikemaskini: 8:23 AM
ADS

PKR terus mengambil jalan selamat berhubung sokongan anggota parlimennya kepada usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PKR kekal dengan pendirian mereka sebelum ini walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) didakwa bersetuju menyokong usul pindaan berkenaan.

"Saya tak boleh cakap untuk pihak BERSATU.

"PKR sudah membuat pendirian yang panjang lebar. Kami kekal dengan pendirian sebelum ini," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Oktober tahun lalu PKR menyatakan, sokongan mereka kepada usul meminda Akta 355 dibawa PAS itu hanya boleh ditentukan setelah penjelasan terperinci mengenainya dibuat.

PKR juga menegaskan bahawa perdana menteri mesti memberi jaminan bahawa semua hak yang termaktub dalam perlembagaan, akan dilindungi.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata mana-mana pindaan undang-undang sedia ada mesti memenuhi prinsip murni keadilan dan kesaksamaan Islam serta tidak bercanggah dengan teks dan semangat perlembagaan dan Perjanjian Malaysia.

Sabtu lalu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa BERSATU telah pun bersetuju dengan cadangan rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi itu.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dan ia dipersetujui Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun tengah hari tadi, Muhyiddin menafikan beliau bersetuju dengan cadangan pindaan berkenaan.

"Sehingga kini, saya sebagai Anggota Parlimen Pagoh masih tidak tahu kedudukan akhir (pindaan yang dicadangkan) yang akan dibahaskan di parlimen, jadi adalah sukar untuk membuat keputusan.

"Kami akan tunggu dan lihat bentuk akhir yang akan dibentangkan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Usul itu dijangka akan dibentang dan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat kali ini jika mendapat laluan daripada kerajaan.

Usul yang dibawa Abdul Hadi itu bertujuan menambah hukuman maksimum bagi kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah - kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Muhyiddin pula merupakan satu-satunya anggota parlimen yang mewakili BERSATU ketika ini.

Lihat Komen