malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Penerangan Umno berkata debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti berkenaan.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, Nazri juga tidak merujuk kepada Umno sebelum menyatakan kesediaannya menyahut cabaran dibuat Dr Mahathir.

"Saya menganggap ia (debat berkenaan) semata-mata persoalan peribadi antara Nazri dan Dr Mahathir," katanya.

Ditanya pendirian parti, Annuar memberitahu pihaknya tidak ada membincangkan isu berkenaan, malah mengetahuinya melalui laporan media.

"(Umno) cuma (tahu selepas) baca laporan. Mereka berdua (sudah) setuju, kita tak bincang lagi," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Dr Mahathir dan Nazri dijadual bertemu untuk berdebat buat kali pertama pada akhir bulan ini di kawasan diwakili menteri pelancongan dan kebudayaan itu, Padang Rengas, Perak.

Ia dianggap kubu kuat Nazri selepas beliau mewakili kawasan berkenaan sejak pilihan raya umum kesembilan pada 1995.

Perang mulut antara Nazri dan Dr Mahathir semakin panas selepas bekas perdana menteri selama 22 tahun itu menjadi pengkritik keras kerajaan dan akhirnya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir kini adalah pengerusi BERSATU.

Beliau sebelum ini mencabar Nazri berdebat mengenai isu 1MDB, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku di bawah penatdbirannya, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak serta hal berkaitan.

Nazri menerima cabaran berkenaan tanpa sebarang syarat.

Sementara itu Lim Kit Siang mengalu-alukan debat berkenaan dan berjanji untuk hadir sendiri bagi menyaksikannya pada 25 Mac ini.

"Debat ini akan meruntuhkan dinding yang selama ini menghalang perbahasan sihat dan demokratik, serta keinginan rakyat kepada pertanggungjawaban bagi ibu segala skandal kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lihat Komen