malaysiakini logo
story-image
ADS

Rakyat Malaysia wajar berterima kasih kerana harga runcit gula di negara ini masih rendah berbanding Thailand.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Hamzah Zainuddin, berkata orang ramai tidak wajar menyalahkan kerajaan apabila harga gula meningkat 11 sen baru-baru ini.

"Maknanya, Malaysia ini merupakan negara (ditadbir) kerajaan yang betul-betul membuat pertimbangan (untuk rakyat).

"Sepatutnya rakyat Malaysia ucap terima kasih berbanding menyalahkan saya," katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.

Menjelaskan keadaan yang memaksa kenaikan harga gula, Hamzah yang juga anggota parlimen Larut berkata, negara ini mengimport kira-kira 50 peratus bahan itu dari Thailand, manakala selebihnya dari negara lain.

"Daripada pengimportan itu, apabila kita bandingkan (harga) jualan runcit di Thailand ialah RM3.20 (sekilogram," katanya.

Pada 2 Mac lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesahkan harga gula meningkat berkuat kuasa sejak 1 Mac.

Patutnya tiada perubahan ketara

Kenyataan KPDNKK memberitahu, harga baru gula pasir putih bertapis kasar kini ialah RM2.95 sekilogram.

Penetapan itu, kata kementerian terbabit, dibuat mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (Nombor 2) 2017.

Kenaikan harga itu adalah yang pertama sejak kali terakhir dibuat pada 25 Oktober 2013.

Ketika itu harga gula meningkat sebanyak 34 sen menjadi RM2.84 sekilogram.

Terdahulu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Hamzah menjelaskan, kejatuhan nilai ringgit dan peningkatan harga import mendorong kenaikan harga gula.

Kata Hamzah, kali terakhir harga gula naik ialah pada Oktober 2013 dan ketika itu harga import bahan berkenaan ialah AS$0.15 setiap paun, manakala tukaran wang ialah RM3.20 bagi setiap AS$1.

Kini, katanya, harga import gula menjadi AS$0.21 sepaun, manakala AS$1 bersamaan dengan RM4.46.

Hamzah menambah kenaikan harga gula itu juga mininum jika dilihat kepada peratusan perubahannya iaitu 3.8 peratus saja.

Bercakap kepada media di luar dewan, beliau berkata, perubahan harga gula tidak sepatutnya membawa kepada peningkatan ketara harga makanan.

KPDNKK juga, katanya Hamzah, akan bertindak ke atas peniaga yang mengambil kesempatan atas kenaikan harga berkenaan.

"Jika semua peniaga ikut etika, insya-Allah tak timbul masalah," katanya

Lihat Komen