Forest City yang saya lihat sendiri

Mahathir Mohamad
(Dikemaskini )

ULASAN Saya pergi ke Forest City. Saya telah baca banyak laporan berkenaan Forest City ini.

Saya juga telah membuat banyak teguran terhadap pembangunannya. Tetapi semua maklumat berkenaannya saya dapati secara second hand.

Oleh itu saya perlu lihat sendiri Forest City ini.

Ia dibina di atas empat buah pulau buatan di perairan Johor dekat dengan pelabuhan Tanjung Pelepas. Luasnya luas. Jalan kelas satu yang agak panjang telah dibina ke arah Forest City.

Apabila sahaja memasuki jalan dalam kawasannya, tiba-tiba landscaping yang cantik luar biasa menghiasi jalan.

Sepanjang jalan terdapat papan tanda yang dipasang kepada tiang lampu dengan tulisan dalam bahasa kebangsaan “Hartanah Hak Milik Kekal”.

Tetapi Najib telah mendakwa dengan marah bahawa tanah yang dijual kepada syarikat negara Cina ini hanya sebagai leasehold 99 tahun sahaja. Mungkin Najib tidak tahu. Mungkin tidak lihat papan tanda.

Najib berjanji selepas 99 tahun kita akan dapat tanah kita (kita orang Malaysia). Tetapi papan tanda kata lain.

Sebenarnya Najib boleh batal syarat freehold kerana ia bertentangan dengan dasar negara yang mana semua hak milik tanah baru mestilah leasehold – 30, 66, 90 atau 99 tahun.

Ramai rakyat Malaysia yang memohon tanah kecil mereka diberi secara kekal tetapi gagal. Tetapi nampaknya orang asing boleh dapat secara kekal.

Kata pepatah Melayu (yang tidak perlu kita pedulikan) “anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan”. Kesian.

Ya, memang cantik dan mengagumkan pembangunan Forest City. Yang menarik sekali ialah landscaping yang sudah menang berbagai hadiah antarabangsa. Pelawat Malaysia dan luar diberi layanan istimewa. Selain dari menunjuk model rancangan Forest City, pelawat boleh guna kolam renang yang luas, pantai indah dihias dengan binatang anjing laut diperbuat dengan simen. Makan tengah hari percuma.

Kebanyakan pelanggannya datang dari negara Cina. Diadakan penerbangan khas dari beberapa bandar Cina ke Senai, Johor. Walaupun rakyat Malaysia boleh beli flat yang sedang dibina, tetapi 90 peratus lebih pembeli ialah rakyat negara Cina.

'Syabas, Malaysia pemurah'

Penghuni Forest City boleh tinggal secara lebih kurang kekal di Forest City. Tidak ada syarat melarang mereka dari menjadi warganegara Malaysia setelah tinggal sekian lama. Oleh kerana Forest City ini dalam Malaysia, tidak ada sekatan bagi penduduknya memasuki mana-mana kawasan di Malaysia. Tetapi mereka perlu visa jika ingin ke Singapura.

Forest City ini pula diberi status bebas cukai. Status bebas cukai Langkawi sudah ditarik balik kerana merugikan kerajaan. Tetapi mereka yang akan mendiami Forest City, kebanyakannya orang asing akan menikmati status bebas cukai apabila barangan import dari mana-mana termasuklah negara mereka sendiri diimport terus ke Forest City.

Ya, memang hebat Forest City ini. Tetapi hari ini dilapor bahawa pengeluaran wang dari negara Cina tidak akan dibenar lagi. Apakah ini akan menghalang rakyat Cina dari membeli flat mewah di Forest City?

Saya diberitahu bahawa flat di Forest City boleh didapati percuma jika sebuah flat atau hartanah dibeli di negara China. Tidak akan ada bayaran yang perlu dibuat di Malaysia. Syarikat Forest City tidak perlu bayar apa-apa cukai di Malaysia kerana tidak mendapat apa-apa keuntungan di sini.

Jika duit tidak boleh dikeluarkan dari negara Cina, pembeli mungkin pinjam duit dari bank di Malaysia. Saya difahamkan bahawa seorang rakyat asing bernama membeli tanah di Malaysia dengan pinjaman 90 peratus dari bank Malaysia. Orang Malaysia akan disoal panjang jikalau meminjam, mengeluar atau memasukkan wang RM50,000 atau lebih sebelum dilulus. Ini adalah oleh kerana kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap pembersihan duit yang dicuri atau didapati secara haram.

Forest City ini akan diduduki hampir 90 peratus orang asing. Apakah ia akan ditadbir oleh Majlis Bandar Raya Johor Bahru atau akan punyai dewan bandar sendiri. Apakah bahasa rasminya? Wallahu a’allam!

Seamai 700,000 penduduknya berhak keluar masuk ke mana-mana di Malaysia, mungkin membeli harta di lain-lain tempat, mungkin juga mengadakan bisnes.

Mengikut undang-undang Malaysia selepas 12 tahun mereka berhak menjadi warganegara Malaysia dengan hak mengundi. Tidak ada jaminan ini tidak akan berlaku. Bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan.

Sesungguhnya Malaysia amat pemurah. Siapa sahaja boleh tinggal di sini. Sejak merdeka sudah 700,000 kerakyatan telah diberi kepada orang asing. Benarlah Malaysia ini negara berbilang kaum. Dengan izin Najib ia boleh jadi lebih berbilang kaum. Syabas.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD bekas perdana menteri keempat. Artikel ini dimuatkan kali pertama di blog beliau dengan tajuk asal “Bandaraya Hutan (Forest City)”.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Artikel berkaitan

Share