Nukilan penulis lirik 'Awan Nano' sumbang


(Dikemaskini )

ULASAN Saya terpangil untuk menjawab ulasan yang dilontarkan oleh otai Jalan Telawi, Saudara Hasmi Hashim atau nama penanya “Budi Hikayat” di portal Malaysiakini dengan tajuk “Johor Perlu kerajaan baru”.

Tidak dinafikan nama Jalan Telawi ternyata begitu gah sebagai sebuah gerakan yang pernah menghimpunkan intelektual-intelektual melalui penulisan kreatif.

Namun, saya agak kecewa bilamana membaca penulisan oleh seorang yang mengelarkan dirinya sebagai 'otai' bagi gerakan ini.

Nyata, hujahnya yang separa matang dan dangkal itu jelas bermotifkan politik kepartian dengan niat jahat bagi memesongkan fakta sebenar.

Sebagai seorang Bangsa Johor, saya berasa bertanggungjawab bagi memberikan penjelasan sebenar.

Kuota rumah bumiputera

Tindakan ‘otai’ ini mendakwa kerajaan Johor tidak bertanggungjawab, dengan menyatakan dasar kerajaan negeri mahu melepaskan kuota rumah Melayu-bumiputera kepada bangsa lain adalah fitnah yang maha besar.

Dalam konteks di Johor, dasar dan pendekatan semasa yang diamalkan adalah mana-mana kawasan atau jenis pembangunan hartanah hendaklah memperuntukkan sekurang-kurangnya kuota 40 peratus untuk kuota bumiputera.

Ini bermakna, jika seseorang pemaju ingin membangunkan 100 buah rumah teres, 40 unit daripadanya hendaklah ditawarkan kepada bumiputera.

Kesemua 40 unit rumah teres berkenaan digazetkan sebagai lot-lot bumiputera yang diberi tawaran potongan sebanyak 15 peratus daripada harga sebenar oleh kerajaan negeri.

Memandangkan 40 unit tersebut kini adalah lot bumiputera, ada beberapa syarat tambahan serta sekatan yang melibatkan tempoh masa minimum pemilikan, transaksi jual beli dan sebagainya dikenakan oleh pihak berkuasa negeri ke atas lot-lot tersebut.

Bagaimanapun, bagi mana-mana pembangunan di atas tapak atau tanah yang diklasifikasikan sebagai tanah rizab Melayu, kesemua unit yang dibangunkan di atas tapak tersebut hanya boleh dijual kepada orang Melayu.

Bagi kes unit bumiputera yang tidak boleh dijual, maka pihak pemaju boleh memohon untuk membuat pelepasan unit-unit tersebut untuk dibuka tawarannya kepada awam.

Secara rasional, ia bertujuan mengelak terlalu banyak lambakan unit hartanah yang tidak terjual di pasaran.

Untuk makluman, kuota bumiputera 40 peratus yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri di Johor adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan dasar dan amalan negeri-negeri lain.

Justeru, jika pelepasan ini tidak dibenarkan, dibimbangi akan menyebabkan lambakan hartanah dalam pasaran di Johor.

Johor, Putrajaya diperintah parti sama

Ya benar, Johor dan Putrajaya diperintah oleh parti BN, tetapi tidak bermakna bahawa semua perkara boleh diminta daripada kerajaan Persekutuan.

Dalam isu perumahan, kerajaan persekutuan telah membantu dengan skim rumah PRIMA. Namun jumlah rumah PRIMA yang ditawarkan untuk negeri Johor adalah terlalu rendah bagi menampung permintaan daripada rakyat Johor.

Oleh sebab yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang berpandangan jauh dan bertanggungjawab, menteri besar telah menggagaskan skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dengan harga serendah RM42,000!

Mengikut statitstik, sebanyak 12,108 unit kediaman termasuk RMMJ dibina sejak 2013 hingga kini. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,598 rumah adalah jenis Perumahan Komuniti Johor A (PKJA) yang berharga RM42,000 seunit.

Bagi jenis Perumahan Komuniti Johor B (PKJB) pula, sebanyak 3,217 dengan setiap unit rumah berharga RM80,000 telah siap dibina.

Selain itu, bagi jenis RMMJ, sebanyak 7,293 dengan setiap unit rumah berharga RM150,000 telah siap dibina.

Kerajaan Johor adalah satu-satu kerajaan negeri yang menawarkan rumah mampu milik 1,000 kps dengan harga serendah RM150,000. Usaha kerajaan negeri tidak berhenti di situ, sebaliknya menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 60,000 unit RMMJ kepada penduduk negeri Johor menjelang tahun 2020.

Kerajaan Johor tidak mahu dilihat sebagai kerajaan yang terlalu bergantung kepada persekutuan sedangkan kerajaan negeri juga mempunyai sumber-sumber pendapatan yang tersendiri.

Dasar pindah milik hartanah bumiputera

Saya juga ingin menyangkal dakwaan dangkal ‘otai’ bahawa kelulusan bagi dasar pindah milik hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera di negeri Johor tidak ketat.

Untuk pengetahuan ‘otai’, proses dan prosedur pelepasan Lot Bumiputera bukanlah semudah yang dijangkakan.

Pemaju hanya boleh mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa negeri untuk mendapatkan pelepasan lot hartanah bumiputera setelah sesebuah projek pembangunan tersebut mencapai minimum 50 peratus tahap kemajuan pembangunan.

Tahap kemajuan ini pula perlu disahkan oleh pihak perunding arkitek yang bertauliah dengan persetujuan dan pengesahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pemaju yang mengemukakan permohonan untuk pelepasan mestilah juga terlebih dahulu menandatangani perjanjian tambahan dengan pihak berkuasa negeri, iaitu kurangnya selama sembilan bulan.

Bagi memastikan proses berjalan secara telus, pihak pemaju perlu mengiklankan tawaran unit bumiputera sebanyak dua kali secara minimum dalam akhbar-akhbar utama arus perdana pelbagai bahasa.

Ini bagi memberi ruang dan hebahan sepenuhnya kepada mereka yang berminat untuk membeli unit-unit berkenaan.

Selain itu, setiap sumbangan 7.5 peratus daripada harga jualan sebenar bagi setiap unit oleh pemaju kepada kerajaan negeri akan dimasukkan dalam sebuah tabung amanah untuk kegunaan-kegunaan lain berkaitan kepentingan hartanah bumiputera di negeri Johor.

Masyarakat juga harus diingatkan bahawa pendekatan dan amalan pelepasan unit-unit bumiputera yang tidak terjual hanya terpakai bagi unit hartanah di luar kategori RMMJ seperti yang terdapat dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor.

Melihat kepada proses, prosedur dan syarat ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri di Johor, saya percaya amalan pelepasan unit-unit hartanah Bumiputera ini hanya dibuat selepas mengambil kira banyak faktor dan kepentingan.

Maka, tuduhan yang mengatakan prosedur di Johor tidak ketat adalah dangkal sama sekali!

Isu Pengerang, harga minyak

Hujah mengenai industri minyak dan gas yang turun naik bawah paras bawah AS$50 setong, saya percaya hujah ini tidak relevan.

Mungkin artikel ‘otai’ ini diperam terlalu lama sehingga ia disiarkan di Malaysiakini. Untuk maklumat ‘otai, harga minyak dunia sedang meningkat dan kembali ke harga asalnya.

Pun begitu, apabila ‘otai’ secara specifiknya menyerang Pengerang, ada beberapa perkara yang perlu difahami bahawa industri minyak di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).

‘Otai’ perlu mendalami selok belok industri minyak dan gas. Rantaian bekalan bagi industri minyak dan gas adalah berdasarkan mekanisme huluan dan hiliran.

Ini berdasarkan hipotesis asas bahawa semakin dekat kepada pengguna akhir, semakin hiliran ia dikategorikan.

Manakala, pengekstrakan bahan mentah atau pengeluaran unsur-unsur rantaian bekalan dianggap sebagai huluan. Rantaian bekalan minyak dan gas biasanya dirujuk dengan cara ini.

Syarikat-syarikat huluan mengenal pasti minyak dan gas asli dan melibatkan diri dalam pengekstrakan sumber-sumber ini dari bawah tanah.

Syarikat-syarikat ini sering dipanggil penerokaan dan pengeluaran syarikat. Penapis mewakili elemen hiliran rantaian bekalan minyak dan gas.

Namun, bagi PIPC ia melibatkan perniagaan hiliran yang melibatkan perniagaan pemprosesan, penapisan dan tambah nilai minyak mentah kepada produk-produk petrokimia nilai tinggi.

Ia adalah salah satu bahagian yang terbesar pelaburan di dalam daerah Pengerang dan terletak pada plot tunggal berukuran kira-kira 20,000 ekar.

Projek ini akan menempatkan kilang penapis minyak, keropok naphtha, loji petrokimia serta gas asli cecair (LNG) terminal import dan loji pengegasan semula.

Ini bermaksud di dalam keadaan minyak mentah yang murah sebenarnya ia memberikan keuntungan yang lebih tinggi dalam sektor hiliran ini.

Untuk pengetahuan ‘otai’ kesan positif jangkamasa singkat projek PIPC telah mula dirasai.

Ini dapat dibuktikan dengan pertumbuhan sebenar KDNK Johor sebanyak 6.0 peratus pada tahun 2014 berbanding hanya 4.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Dan yang terbaru, lawatan Raja Salman ke Malaysia telah menunjukan bahawa Saudi ARAMCO sebuah syarikat petroleum Arab Saudi telah melabur lebih kurang RM30 billion di Pengerang.

Ini bukti keyakinan Arab Saudi terhadap potensi di Johor dan Malaysia.

Dasar tidak jelas?

Selepas menteri besar Johor dilantik ke jawatan itu, beliau telah mengagaskan “Pelan Suara Hati Johor” yang menyaksikan kerajaan negeri menggariskan tujuh fokus utama yang menjadi dasar perancangan pembangunan pentadbiran.

Bagi menterjemahkan suara rakyat, kerajan negeri telah menyerahakan kepada pakar bagi merancang kepada Pelan Pembangunan Negeri Johor.

Tidak berhenti di situ, menteri besar juga telah memperkenalkan Gagasan Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ).

PPSJ adalah sebuah rangka pelan strategik bagi menjadikan Johor sebuah negeri yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pertumbuhan perkapita Johor pada kadar purata 8.7 peratus setiap tahun.

Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab PPSJ bukan hanya sebuah pelan biasa sebaliknya menyediakan rangka kerja komprehensif termasuklah menggunakan mekanisme diagnostik pertumbuhan yang dibangunkan oleh Universiti Harvard bagi menentukan bidang keutamaan terpenting bagi memacu pertumbuhan.

Ini merupakan anjakan berlipat ganda inisiatif negeri Johor mendapat pemikir-pemikir terbaik dunia bagi kesejahteraan rakyat Johor.

Tujuan polisi-polisi ini adalah untuk memastikan Johor kekal relavan dan bersaing dengan jirannya Singapura.

Seperti yang menteri besar katakan: “Johor bukan lagi the backyard of Singapore. Johor mesti dibangunkan untuk menyaingi dan standing dengan Singapura. Johor tidak boleh lagi geographically near to Singapore but economically distanced”.

Saya secara peribadi memohon maaf bagi pihak menteri besar kerana tidak menyenaraikan negeri Selangor sebagai pesaing kepada negeri Johor.

Kerajaan demokrasi

Kerajaan Johor dibentuk atas paksi demokrasi setelah berjaya memenangi PRU13 yang lalu dengan majoriti dua pertiga.

Fakta ini masih kekal sehingga ke hari ini, walaupun ada cubaan beberapa ADUN daripada Umno melompat kerusi parti pembangkang.

Oleh yang demikian, saya mohon kepada ‘otai’ Jalan Telawi agar menghormati pilihan rakyat Johor.

Rakyat Johor telah bersifat matang dan bijak dalam memilih kerajaan yang akan memimpin negeri mereka.

Tidak dapat dinafikan, ada beberapa masalah yang dihadapi. Tetapi kerajaan negeri senantiasa mendengar keluh kesah rakyat dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Saya ingin memetik kata-kata menteri besar “bahawa tiada satu hari pun, harus dibiar berlalu tanpa kegigihan memikirkan jalan terbaik untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya maju dan sejahtera”.

Akhir kata, kepada ‘otai’ Jalan Telawi, berhentilah berbicara mengenai politik dan negeri Johor.

Fokuskan sahaja kepada penulisan lirik lagu agar dapat kembali ke pentas Juara Lagu.

Sesungguhnya pentas politik bukan pentas anda, kerana nukilan anda ‘sumbang’ belaka.


AHMAD SOLEHIN ABD GHANI merupakan seorang peguam dan juga anggota Parlimen Belia Malaysia negeri Johor.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Artikel berkaitan

Share