malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
China labur RM3 bilion untuk projek Terminal Kuala Kedah
ADS

China merancang untuk membina Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai RM3 bilion di Kuala Kedah bagi pendaratan dan pemprosesan ikan tuna.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata projek itu telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara pada tahun lepas.

Majlis itu terletak di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kami menjangka akan menandatangani perjanjian dengan pelabur tidak lama lagi," katanya, sambil menambah projek itu akan meningkatkan pembangunan negeri Kedah apabila dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Alor Setar hari ini.

Terminal itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Lu Hai Feng dari China, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Qingdao, dibina di kawasan seluas 2,340 hektar di sepanjang pesisir pantai dari Taman Bersatu hingga ke Kampung Tebengau di Kuala Kedah.

Terminal tersebut dijangka menjadi pangkalan bagi bot menangkap ikan tuna yang beroperasi di Lautan Hindi.

Huang berkata China yakin untuk meneroka industri perikanan, pelancongan, tenaga boleh baharu dan getah di Kedah untuk membina hubungan perdagangan dua hala yang lebih kukuh.

"Kami boleh menyepadukan teknologi terkini kami dengan pengeluaran getah Kedah untuk membina industri getah yang lebih maju di sini.

"Bagi pelancongan, kami akan memperkenalkan Langkawi kepada lebih ramai pelancong dari China," katanya. -Bernama

Lihat Komen