malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: Najib belanja hasil petroleum paling banyak
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membelanjakan lebih banyak pendapatan petroleum di negara ini berbanding pendahulunya sejak memegang jawatan itu pada tahun 2009, dakwa anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata Najib adalah 'jaguh antara jaguh' dan telah membelanjakan RM376 bilion pendapatan petroleum di antara 2009 dan 2016, atau purata sebanyak RM54 bilion setahun.

"(Tun) Mahathir (Mohamad), sepanjang 22 tahun jadi PM belanjakan RM163 bilion, RM8 bilion setahun," kata Rafizi kepada Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata, angka itu berdasarkan data disediakan Jabatan Perbendaharaan atas dividen petroleum, royalti minyak dan hasil petroleum dari tahun 1970 sehingga 2016.

Rafizi berkata, perdana menteri sebelum Najib, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelanjakan RM204 bilion pendapatan petroleum, atau RM41 bilion setiap tahun dari 2003 hingga 2009; Tun Hussein Onn membelanjakan RM8 bilion, atau RM1.6 bilion setahun (1976-1981); dan Tun Razak Hussein membelanjakan RM1 bilion atau RM175 Juta setahun (1970-1976).

Disoal oleh Datuk Hasan Ariffin (BN-Rompin) mengenai harga minyak semasa pada era setiap perdana menteri itu, Rafizi menjawab bahawa dari zaman Tun Abdul Razak Hussein ke era Mahathir, harga minyak adalah kira-kira AS$ 20 hingga AS$ 30 setong.

Sementara itu, pada masa Abdullah, harga minyak naik kepada AS$ 120 setong sebelum jatuh kepada AS$ 60 setong, manakala pada masa Najib, harga setong turun naik antara AS$30 dan AS$70 serta kini pada AS $58 setong.

"Persoalan sekarnag kalau dapat durian runtuh bukan makna kita kena belanja semua. Patut masa dapat durian runtuh simpan untuk anak cucu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di parlimen hari ini.

Dalam ucapannya, Rafizi bersetuju dengan langkah Putrajaya menetapkan harga bahan api pada setiap minggu bermula April.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa harga siling mestilah termasuk pemberian subsidi.

Beliau kemudian menekankan janji Pakatan Harapan, bahawa mereka akan memperkenalkan subsidi bahan api berasaskan penggunaan yang akan dikawal selia dengan penggunaan MyKad, sekiranya menang pilihan raya akan datang.

Ia katanya bagi memastikan hanya rakyat Malaysia mendapat bantuan itu.

Sementara itu, ketika ditemui Malaysiakini, Rafizi mengesahkan angka perbendaharaan itu tidak mengambil kira kadar inflasi dan perubahan dalam nilai mata wang.

Lihat Komen