malaysiakini logo
story-image
ADS

PKR Kelantan berikrar akan mempertahankan semua tiga kerusi parlimennya yang ditandinginya pada pilihan raya umum lalu ketika ada desakan akar umbi PAS supaya ia dikembalikan kepada parti itu.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, berkata pihaknya tetap bertegas dan enggan melayan kemahuan anggota PAS terbabit ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

“PAS bebas buat apa saja, namun saya bagi pihak PKR Kelantan akan mempertahankan tiga parlimen yang ditandingi pada PRU ke-13 untuk kami bertanding lagi pada PRU ke-14,” katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini Harakahdaily melaporkan PAS Cawangan Klewek mengemukakan usul supaya pimpinan parti itu menuntut semula kerusi parlimen Tanah Merah yang diberikan kepada PKR sebelum ini.

Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU lalu (2013) PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

Bagaimanapun semua calon PKR kalah kepada BN. Seorang anggota parlimen PAS, Datuk Kamarudin Jaafar, kemudian menyertai PKR pada September 2015.

Parlimen, DUN sama

Ketika ini hubungan antara PAS dan PKR tidak lagi semesra beberapa tahun lalu ekoran hubungan parti terbabit dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kelantan memang menjadi kubu kuat PAS sejak parti itu menumbangkan kerajaan BN melalui pilihan raya umum kelapan pada 1990.

Menurut Abdul Aziz, setakat ini tiada sebarang perubahan pendirian PKR berhubung pembabitan mereka dalam pembahagian kerusi.

Ditanya mengenai penyertaan PKR di peringkat DUN, Abdul Aziz berkata, mereka juga tidak akan membuat sebarang perubahan.

“Sama, kita akan tandingi," katanya.

Bekas anggota parlimen Ketereh pada penggal 2008 itu bagaimanapun berkata, PKR tetap menunggu muktamar PAS akan datang bagi melihat pendirian rasmi mereka berhubung pembahagian kerusi.

Bagi AMANAH, parti itu sudah mengesahkan akan bertanding di dua kerusi parlimen iaitu Kota Bharu dan Kubang Kerian, selain 30 kerusi lagi di peringkat DUN.

Terdahulu Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata,parti itu akan memfokuskan di kawasan yang dimenangi PAS manakala Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) pula akan bertanding di kawasan yang dimenangi Umno.

Lihat Komen