malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Beliau sudah membayangkannya semalam, dan hari ini Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi menegaskan beliau akan tetap berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri berkata, tidak ada apa-apa yang boleh menyekatnya daripada berdebat dengan bekas perdana menteri itu.

Nazri berkata beliau tidak akan berganjak walaupun ditakdirkan berada dalam situasi rakan sekabinetnya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang membatalkan rancangan berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Mengapa saya perlu (menarik diri daripada berdebat)?

"Saya Nazri Aziz, kamu patut lebih tahu saya ni macam mana. Saya bukan Rahman Dahlan," katanya.

Semalam Nazri mengesahkan menyambut cabaran Dr Mahathir untuk berdebat mengenai isu 1MDB serta skandal kewangan awal 1980-an, Bumiputra Malaysia Finance yang dikaitkan dengan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Memberikan reaksi dari luar negara, Nazri berkata, beliau akan berdebat dengan Dr Mahathir tanpa sebarang syarat, malah bersedia berseorangan berdepan berdepan dengan bekas bosnya itu.

Dr Mahathir pula menegaskan, beliau akan berdebat dengan Nazri di kawasan parlimen Padang Rengas yang diwakili menteri pelancongan dan kebudayaan sejak 1995.

Kata pembantu Dr Mahathir, persiapan sedang disusun bagi membolehkan debat itu berlangsung.

Jika batal bukan kerana Nazri

Bagaimanapun majlis perdebatan politik di negara ini tidak semuanya berjalan lancar dan mudah menjadi kenyataan.

Tahun lalu rancangan mempertemukan Abdul Rahman dengan Lim berhubung isu tanah Taman Manggis tidak kesampaian apabila stesen televisyen yang akan menayangkannya secara langsung membuat keputusan menangguhkannya.

Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, berkata pihaknya membuat keputusan itu setelah mengambil kira nasihat Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki.

Debat itu sepatutnya diadakan pada 19 April 2016.

Kata Mohd Ashraf, debat itu ditunda sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak, dan sehingga kini belum ada kenyataan baru mengenainya dibuat.

Nazri berkata, rancangan debat itu hanya akan terbatal jika Dr Mahathir menarik diri.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya kepada khabar angin bahawa beliau akan menarik diri pada saat-saat akhir.

"Kalau batal, ia disebabkan Mahathir, bukan saya.

Ditanya jika debat itu wajar disiarkan secara langsung di televisyen, Nazri berkata, terserah kepada Dr Mahathir untuk membuat penyelarasan mengenainya.

"Terserah kepada dia. Dia yang mencabar saya. Saya cuma hadir," katanya.

Beliau juga tidak bimbang dengan keadaan kesihatan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu jika mereka berdebat pada 25 Mac ini.

"Debat saja, saya bukan dan berlawan (secara fizikal) dengan dia. Dia pernah jadi bos saya," katanya yang dilantik sebagai menteri antara Disember 1999 hingga Mac 2004.

Nazri juga berkata, beliau akan melayan Dr Mahathir "dengan baik" tetapi tidak akan menghamparkan permaidani merah untuknya - seperti pernah ditawarkan baru-baru ini - kerana ia sudah ditolak ahli politik veteran terbabit.

"Apa saja topik, boleh," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen