malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS ramal tsunami Islam pada PRU14
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 5:08 AM
ADS

Mendakwa mempunyai asas untuk menganggap DAP, Gerakan dan MCA sebenarnya bermain wayang di belakang tabir, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mendakwa, akan berlaku "tsunami Islam" pada pilihan raya umum akan datang.

Pengarah PPP, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata tindakan mana-mana pihak bersekongkol untuk menghalang umat Islam di negara ini memenuhi hak asasi mereka bernaung di bawah undang-undang syariah hanya akan memburukkan hubungan harmoni sesama rakyat Malaysia.

Memetik pandangan seorang ahli akademik, Mohd Zuhdi seterusnya berkata, tentangan parti terbabit terhadap usaha PAS meminda Akta 355 akan menjana tsunami Islam.

Perkembangan itu, menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu, akan memastikan pihak yang antisyariah Islam dikalahkan.

"Seperti ditulis seorang ahli akademik, Dr Iskandar Tan Abdullah, konspirasi seperti ini akan menjana tsunami Islam untuk memastikan pihak yang antisyariah Islam akan tersungkur pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang," katanya melalui kemas kini statusnya di Facebook hari ini.

PAS giat dalam usaha mengumpul sokongan dalam usaha mereka meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Pindaan itu dibuat melalui usul rang undang-undang persendirian presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setakat ini ia sudah dua kali dibacakan di Dewan Rakyat namun belum dibentangkan untuk dibahas. Usul berkenaan turut dimasukkan dalam kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat bersama beberapa rang undang-undang kerajaan.

Bagaimanapun, semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, berkata ada dua rang undang-undang kerajaan yang penting dan perlu dibentangkan segera pada sidang kali ini.

NGO atur agenda

Rang undang-undang itu ialah bagi meminda Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak yang baru digubal.

Cadangan PAS untuk meminda Akta 355 itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak seperti DAP, MCA dan Gerakan.

Selain itu beberapa tokoh juga memberikan pandangan berbeza kepada cadangan PAS itu, termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Zuhdi berkata, selepas berlaku "tsunami Cina" pada PRU lalu, pilihan raya akan datang fenomena itu akan digantikan dengan "tsunami pengundi Islam".

Seminggu dua ini, katanya, DAP, Gerakan dan MCA mengulangi lagi episod drama cabar-mencabar sesama mereka menjelang pembentangan rang Undang-undang persendirian Abdul Hadi.

"Seperti biasa DAP memulakannnya dengan mencabar menteri MCA dan Gerakan meletak jawatan, manakala MCA pula mencabar DAP menyingkirkan PAS dari kerajaan Selangor.

"PPP melihat drama kali ini boleh menjadi jawapan, benarkah selama ini DAP, Gerakan dan MCA bermain opera di belakang tabir?" katanya.

Mohd Zuhdi berkata PPP melakukan kajian terhadap hubungan DAP, Gerakan dan MCA berdasarkan beberapa isu lama seperti Universiti Merdeka, Operasi Lalang, tuntutan pertubuhan Suqiu dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menurut Mohd Zuhdi PPP mendapati ada asas mengapa orang ramai mempunyai anggapan ketiga-tiga parti itu sebenarnya cuma bersandiwara.

"Golongan yang dominan untuk mengatur agenda ini bukan pimpinan politik ketiga-tiga parti ini, tetapi pihak ketiga iaitu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

"Ketiga-tiga parti ini dikatakan sebagai pelaksana termasuklah berperanan sebagai golongan pendesak dan golongan yang didesak," katanya.

Lihat Komen