malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Putrajaya beri lampu hijau S'wak ambil alih Bakun HEP
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 9:18 AM
Dikemaskini: 1:31 AM
ADS

Kerajaan Sarawak telah mencapai persetujuan dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk mengambil alih ke semua pegangan ekuiti Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), pemilik dan pengendali Stesen Hidroelektrik (HEP) Bakun.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan itu dijangka dibuat secara rasmi dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, pengambilalihan itu akan dilakukan oleh syarikat milik penuh kerajaan negeri, Sarawak Energy Bhd (SEB), syarikat utiliti elektrik bersepadu dan pembangunan tenaga yang mengendali dua lagi HEP, iaitu Batang Ai dan Murum.

Menyifatkanya sebagai pengambilalihan yang sangat strategik, beliau berkata, langkah itu akan menyebabkan kerajaan negeri membelanjakan RM2.5 bilion.

Mempunyai kapasiti terpasang 2,400 megawatt, HEP Bakun, iaitu stesen tenaga hidro terbesar di Malaysia, terletak di Lembangan Atas Sungai Rajang, 37 kilometer dari bandar Belaga.

Dibina dengan kos RM7.4 billion (termasuk pembiayaan), ia ditauliah sepenuhnya pada Julai 2014.

Dengan pembelian keseluruhan HEP Bakun, Sarawak bersedia untuk menjadi kuasa penting tenaga boleh diperbaharui negara ini.

"Ini adalah satu konsesi besar Putrajaya dan saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk ini," kata Abang Johari pada sidang akhbar bagi mengumumkan pengambilalihan tersebut di Kuching semalam.

Abang Johari berkata, beliau mengetuai delegasi dari Sarawak untuk berunding dengan Najib mengenai pengambilalihan tersebut, dan mengaitkan kejayaan itu kepada hubungan erat antara negeri itu dan Putrajaya.

"Pengambilalihan HEP Bakun merupakan sebahagian pelan strategik kita untuk membangun dan memperkukuhkan sumber tenaga yang banyak di negeri ini yang akan membolehkan Sarawak mengawal tenaga sepenuhnya bagi manfaat rakyat dan ekonomi kita dalam jangka panjang.

"Ini sudah pasti akan membantu SEB meningkatkan kapasiti Sarawak untuk mengekalkan jaminan kuasa dan kebolehpercayaan dan membolehkan kecekapan operasi melalui integrasi yang lebih baik HEP Bakun dan Murum," katanya.

Untuk rakyat, beliau berkata, terdapat kemungkinan tarif tenaga diturunkan lagi.

"Kenaikan tarif akan menjadi minimum. Apabila kita mendapat kembali perbelanjaan modal, hanya kos penyelenggaan dan operasi yang ditanggung.

"Kita akan mempunyai kuasa yang lebih untuk menjual, yang diterjemah kepada pendapatan tambahan. Kita sudah pasti mahu memindahkan ini kepada rakyat dalam jangka panjang," katanya.

Abang Johari berkata, dengan pengambilalihan tersebut, negeri itu akan meneruskan pelan ekonomi digital dan merubah kawasan luar bandarnya yang luas.

"Kita memerlukan lebih banyak tenaga dan air di mana kita perlu membangunkan pusat data. Apabila anda mahu meletakkan gentian optik sekurang-kurangnya satu hingga dua terabait di seluruh kawasan luar bandar, anda perlukan kuasa seumpama itu," katanya.

Mengenai pembabitan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, beliau berkata, ini kerana tasik besar berikutan penambakan empangan Bakun, serta tanah yang terlibat dalam HEP, iaitu sama dengan saiz Singapura, sebelum ini semuanya dimiliki SHSB di bawah MoF.

"Kita perlu mengambil alih semua ini untuk kita membangunkan Tasik Bakun sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Mengenai cadangan projek Balleh HEP, Abang Johari berkata, ia akan dilaksana sebagaimana dijadual, manakala projek serupa yang lain perlu tunggu dulu.

"Sekarang kita mempunyai tiga empangan, termasuk Balleh HEP, jumlah itu cukup buat masa ini," katanya dengan menambah jika timbul keperluan di samping teknologi lebih baik, tanpa perlu memindahkan penduduk, kerajaan negeri mungkin akan memberi pertimbangan.

- Bernama
 

Lihat Komen