malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tanya MB apa jadi di daerah tengah, kata AMANAH Perak
Diterbitkan:  Mar 8, 2017 6:10 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Asmuni Awi mengajak rakyat negeri itu dari daerah tengah agar bertanya kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengenai beberapa projek yang dijanjikan.

"Sewajarnya, penduduk tempatan daerah Perak tengah mengambil peluang pemukiman menteri besar Perak ke daerah itu untuk mengutarakan segala permasalahan penduduk secara terus.

"Banyak projek mega ‘disuntik’ ke daerah tersebut terutama Seri Iskandar, rakyat wajar mengambil peluang bertanyakan mengenai kedudukan projek ketika ini yang mungkin kerajaan negeri ‘terlupa’.

"Antara yang dikatakan akan mula dibangunkan tahun ini adalah projek Hospital Seri Iskandar yang sebenar telah diluluskan pada Februari 2008 lagi dan satu lagi projek mega adalah tapak lapangan terbang seluas kira-kira 1,200 hektar yang dicadangkan oleh menteri besar terdahulu," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, projek-projek lain yang dijanjikan di daerah tersebut tetapi masih belum dilaksanakan adalah pusat membeli-belah ala Nilai 3 di Seri Iskandar Business Centre, projek Kinta Lake District, projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar dan projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira di Mukim Bota.

Turut menerima nasib yang sama ialah hub pendidikan seperti projek EduCity bagi pembangunan Kolej UCSI dan MMTC di Seri Iskandar, jelasnya.

Pada masa yang sama, kata Asmuni, pihaknya turut berharap aktiviti ‘turun padang’ pimpinan kerajaan negeri tidak bersifat mengikut musim dan mampu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.

"Rakyat di daerah Perak tengah boleh bertanyakan terus status terkini projek-projek tersebut kepada menteri besar nanti, selamat mencuba," tambah beliau.

Lihat Komen