malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS teruskan saman Sarawak Report, Husam
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 12:28 PM
Dikemaskini: 4:30 AM
ADS

PAS akan meneruskan saman terhadap Sarawak Report dan penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Datuk Husam Musa.

Malah, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, sebahagian pembayaran untuk kos guaman di United Kingdom (UK) telah pun dibuat.

Katanya, pihaknya kini sedang dalam mengumpulkan maklumat untuk menepis dakwaan PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno, lapor Sinar Harian.

“Kita sedang buat proses saman itu di UK dan sedang berjalan… Kita sudah bayar (kos) sebahagian (bagi proses) bayaran kepada peguam di sana.

“Cuma sedang dalam proses pengumpulan data lagi. Surat pertama (tuntutan) telah kita hantar dan tunggu masa sahaja, Insya-Allah,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Isu dana RM90 juta itu mula ditimbulkan oleh laman pembocor maklumat Sarawak Report pada Ogos 2016.

Husam pula dalam ceramahnya mendakwa mempunyai butiran berkaitan pengaliran dana itu yang menurutnya disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Khairuddin, yang juga anggota parlimen Kuala Nerus berkata, mereka mahu meneruskan saman terhadap Husam kerana kenyataan itu boleh menjatuhkan maruah PAS.

“Husam akan diambil tindakan (saman) itu oleh pihak yang bertanggungjawab,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Husam berkaitan perkembangan ini. Husam sebelum ini telah menyatakan kesediaannya untuk berentap di mahkamah jika disaman.

Lihat Komen