malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Masalah Proton dari kerajaan
Diterbitkan:  Mar 7, 2017 9:49 AM
Dikemaskini: 1:54 AM
ADS

Kerajaan bertanggungjawab atas masalah kewangan dialami Proton kerana lambat membekalkan peruntukan kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam keadaan begitu, syarikat berkenaan terpaksa menggunakan dana sendiri untuk membangunkan tiga kereta baru.

"Ini menyebabkan masalah kewangan Proton," katanya melalui kemas kini blog beliau semalam.

Bekas perdana menteri dan pengerusi Proton itu memberitahu demikian selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datu Seri Nazri Aziz, yang mendakwa Proton adalah seekor "gajah putih" merujuk kepada projek yang membazir wang kerajaan.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, semasa beliau menjadi perdana menteri Proton dapat mengumpul keuntungan sebanyak RM4 bilion.

Syarikat itu juga, katanya, membina kilang baru di Tanjung Malim dengan kos RM1.8 bilion dan ia dilakukan tanpa mendapatkan pinjaman bank atau bantuan kerajaan.

"Di masa sama Proton membayar cukai RM18 bilion kepada kerajaan," katanya.

Kemerosotan Proton, kata Dr Mahathir, bermula apabila kereta buatan asing dibenarkan masuk ke negara ini dengan mudah ketika negara pengeluar kereta terbabit tetap menghalang kemasukan Proton ke sana dengan pelbagai alasan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada produk Proton begitu buruk sehingga gagal bersaing kualiti dengan kereta lain.

"Hari ini kereta Proton buatan 1985 masih boleh diguna.

"Ya, ada kes tingkap tidak berfungsi. Tetapi itu cerita 10 tahun dahulu. Cermin tingkap Proton sekarang tidak bermasalah. Kelemahan lain pada kereta Proton sudah diatasi," katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga mengakui ada kelemahan pada kereta dikeluarkan Proton namumn teknologinya tetap sesuai untuk Malaysia, Australia dan Asean.

Katanya, ada bantuan teknologi dari syarikat Eropah dalam Proton.

"Saya telah beli ketiga-tiga model baru Proton dan saya tidak menghadapi masalah menggunanya.

"Yang menjadi masalah ialah cashflow (aliran tunai) kerana kemasukan kereta asing memakan pasaran Proton," katanya.

Lihat Komen