malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali merayu untuk diberikan lebih banyak masa bagi membincangkan pembahagian kerusi antara PAS dan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelas Azmin, rundingan pembahagian kerusi tidak boleh diselesaikan dalam seminggu dan merupakan proses yang berterusan kerana tarikh untuk diadakan pilihan raya belum dimuktamadkan.

Beliau mengulangi bahawa PKR akan meneruskan dasar untuk bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum ke-14 yang perlu diadakan menjelang bulan Julai 2018 itu.

"Kita tidak boleh berunding dalam rangka HARAPAN semata-mata. Kami mempunyai parti baru dalam persepakatan sekarang, Parti Amanah Negara dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

"Saya tidak pernah kata ia akan menjadi proses yang mudah tetapi kita mesti mempunyai keberanian, kepimpinan dan rasa rendah diri untuk menerima perbezaan masing-masing dan terus berunding antara satu sama lain dan mendengar pendapat lain," ujar Azmin.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Dataran Keadilan dan Pusat Operasi PKR Permatang Pauh, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membayangkan persaingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-14, hampir pasti.

Beliau berkata, kenyataan terbaru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak sujud di kaki PAS telah menyudahkan secara tidak rasmi teka-teki hubungan politik antara kedua-dua parti itu.

"Persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan," katanya dalam entri di laman Facebooknya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen