malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Glocom - Nafi saja tak memadai
Diterbitkan:  Mar 5, 2017 11:42 AM
Dikemaskini: 3:58 AM
ADS

Memberikan penafian semata-mata tidak memadai untuk Putrajaya meyakinkan orang ramai bahawa kerajaan tidak melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata PKR.

Pengarah komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil, berkata sebaliknya kerajaan wajar menjalankan siasatan menyeluruh mengenainnya.

"Saya menggesa kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI)," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Keanggotaan badan itu, kata Fahmi, perlu terdiri daripada anggota parlimen kanan sama ada wakil kerajaan atau pembangkang, bekas hakim dan pakar keselamatan.

RCI itu, tambah Fahmi, perlu melaksanakan siasatan penuh terhadap syarikat Glocom yang dibenarkan beroperasi di Malaysia dan kemungkinan wujud mana-mana syarikat lain seperti itu yang perlu dikenal pasti serta disiasat.

"Penafian Wisma Putra terhadap dakwaan bahawa Malaysia telah melanggar larangan perdagangan PBB terhadap Korea Utara tidak memadai," katanya.

Pada 27 Februari lalu Malaysiakini melaporkan kewujudan sebuah syarikat dikendalikan oleh ejen perisikan Korea Utara yang beroperasi di sebuah bangunan usang di Little India.

Siasat ikut Sosma

Glocom menjual peralatan radio yang digunakan di medan perang dan didakwa agensi berita Reuters sebagai melanggar sekatan PBB.

Seorang ahli perniagaan Datuk Mustapha Ya'akub kemudian mengakui terlibat dalam penubuhan syarikat International Global System (M) Sdn Bhd (IGS) yang dikaitkan dengan Glocom.

Setiausaha agung Veteran Umno itu mendakwa pembabitannya adalah semata-mata atas kepentingan perniagaan selepas disyorkan oleh kedutaan Korea Utara.

Pada 1 Mac lalu media kemudian melaporkan syarikat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara boleh disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi merungkai motif sebenar penubuhannya.

Memetik pandangan pakar perundangan, Datuk Mohhd Haaziq Pilay, Berita Harian melaporkan dakwaan terhadap dua syarikat terbabit adalah serius dan polis perlu menahan individu berkepentingan untuk mengenal pasti rangkaian perniagaan mereka, sekali gus tujuan ia ditubuhkan.

Pendedahan itu berlaku beberapa hari selepas abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Kata Fahmi laporan media memetik maklumat PBB yang menamakan Glocom - sebuah syarikat ditubuhkan di Malaysia yang diguna oleh Reconnaissance General Bureau iaitu agensi risikan Korea Utara - amat memeranjatkan dan cukup merisaukan umum.

"Persoalan utama yang berlegar di fikiran umum ialah, bagaimana sebuah syarikat peralatan perang seperti Glocom yang digunakan agensi risikan negara asing dibenarkan beroperasi di Malaysia," katanya.

Demi keselamatan negara, kata Fahmi, kerajaan perlu segera menggambil tindakan termasuk membekukan aset Glocom dan pengarah-pengarah syarikatnya, serta memastikan siasatan penuh polis dijalankan terhadap mereka.

"Sekiranya didapati mereka melanggar undang-undang Malaysia, mereka perlu segera dihadapkan ke mahkamah.

"Penafian Wisma Putra terhadap dakwaan bahawa Malaysia telah melanggar larangan perdagangan PBB terhadap Korea Utara tidak memadai," katanya.

Lihat Komen