malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat kembali bersidang di bangunan utama
Diterbitkan:  Mar 4, 2017 6:11 PM
Dikemaskini: 10:17 AM
ADS

Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 yang bermula Isnin ini akan kembali bersidang di bangunan utama Parlimen yang selesai menjalani proses pengubahsuaian dan penambahbaikan sejak 2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata projek membaik pulih dan menaik taraf bangunan Parlimen telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada persidangan kali ini.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan segala proses penambah baikan dan persiapan yang telah dibuat. Saya berharap persidangan akan berjalan dengan lebih lancar dan baik di bangunan asal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azalina ditemui selepas melakukan tinjauan di bangunan Parlimen yang kini giat menjalani proses pembersihan peringkat akhir selepas kerja-kerja pengubah suaian dan penambahbaikan siap mengikut fasa yang ditetapkan.

Beliau sempat melawat pusat media yang akan berpindah dari pejabat sementara Blok C ke blok utama bagi memudahkan proses membuat laporan persidangan.

Tinjauan Bernama mendapati bilik sidang media kini ditempatkan di sebelah kiri dewan persidangan khusus untuk sidang akhbar anggota Kabinet dan bilik rehat tetamu dan Anggota Parlimen pula ditempatkan di sebelah kanan dewan.

Dewan persidangan juga kini lebih canggih dan moden dihiasi kerusi dan meja baharu termasuk ukiran kayu di meja hasil tangan anak tempatan, selain lantai beralas permaidani biru yang menambah seri dewan tersebut.

Pelbagai kemudahan dan kelengkapan bangunan Parlimen juga telah siap ditambah baik seperti dewan serba guna, bumbung Blok Utama yang sebelum ini bocor dan tempat letak kereta bawah tanah.

Bangunan sementara yang sebelum ini digunakan untuk persidangan akan digunakan untuk persidangan lain antaranya Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran memaklumkan proses membaik pulih dan mengubah suai kompleks bangunan Parlimen dilaksanakan mengikut pelbagai fasa dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 melibatkan anggaran kos RM520 juta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata pelaksanaan projek membaik pulih dan menaik taraf bangunan Parlimen dibahagikan kepada tiga fasa membabitkan naik taraf dan ubah suai dewan serbaguna; projek membaik pulih blok utama dan pembinaan blok baru Anggota Parlimen dan pentadbiran.

Fadillah berkata fasa melibatkan blok utama yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah siap pada Januari 2017 dan persidangan boleh berlangsung semula di tempat asal bermula Mac.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula Isnin ini hingga 6 April selama 20 hari yang akan dirasmikan dalam upacara penuh adat istiadat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Persidangan bermula dengan perbahasan usul menjunjung kasih selama tujuh hari diikuti dengan perbahasan dan penggulungan usul itu selain sesi khas pertanyaan menteri, soal jawab lisan, sesi kamar khas dan pembentangan rang
undang-undang (RUU).

Selepas selesai persidangan Dewan Rakyat, tumpuan akan teralih kepada persidangan Dewan Negara selama 10 hari bermula 17 April hingga 27 April.

- Bernama

Lihat Komen