malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRU14: Nazri cabar Dr M bertanding di Padang Rengas
Diterbitkan:  Mar 4, 2017 5:59 PM
Dikemaskini: 10:02 AM
ADS

Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mencabar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nazri, juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, membuat cabaran itu selepas dimaklumkan Dr Mahathir akan turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hujung bulan ini.

Katanya sekiranya Dr Mahathir enggan bertanding di Padang Rengas, cabaran tersebut dibuka kepada Presiden Penaja PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya difahamkan Muhyiddin akan datang ke sini pada 23 Mac ini dan diikuti oleh Dr Mahathir pada 25 Mac.

"Saya nak ucapkan selamat datang dan saya alu-alukan mereka tetapi jangan hanya datang...mereka mesti bertanding di Padang Rengas, lagi elok kalau Mahathir bertanding tapi kalau tak boleh biar Muhyiddin lawan saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan pemimpin bersama Ahli Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Padang Rengas di Dewan Pusat Khidmat Kampung Kubang Panjang, hari ini.

- Bernama

Lihat Komen