malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya mahu padam sejarah saya dalam MCA, kata Ong
ADS

Beliau adalah bekas Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan. Beliau mendedahkan rasuah dalam peruntukan kepada sekolah-sekolah Cina dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Dan senarai itu berterusan.

Walau bagaimanapun, apabila Tan Sri Ong Tee Keat memutuskan untuk meninggalkan MCA pada bulan Januari lalu, langsung tiada laporan berita mengenai perkara itu.

Keputusan mengejutkan itu hanya diketahui umum minggu ini apabila sebuah akhbar berbahasa Cina mendapat tahu mengenai peletakan jawatan itu dan menghubunginya untuk pengesahan.

Terdapat senarai soalan yang panjang - bila beliau membuat keputusan itu? Mengapa beliau berhenti cara sedemikian? Adakah beliau berputus asa dengan politik dan tidak lagi mahu meneruskan perjuangannya? Adakah beliau merancang untuk menyertai parti lain?

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Ong memberikan jawapan berkenaan.

Sejak menyimpan hasrat meninggalkan parti yang diterajuinya, Ong mendedahkan bahawa tidak ada pihak pun yang mencuba memujuknya daripada berbuat demikian.

Biar rakyat menilai

Katanya, beliau juga tidak mahu dikenang oleh MCA.

"Tidak ada sesiapa yang minta saya untuk tidak berhenti. Pertama sekali, saya tidak memerlukannya dan saya juga tidak akan peduli jika ada yang berbuat demikian.

"Saya juga tidak ingin mereka mengenangkan saya," jawabnya ketika ditanya bagaimana beliau mahu dirinya dikenang.

"Jika ada pilihan, saya mahu memadamkan sejarah saya bersama MCA, termasuk semua perkara yang saya telah lakukan. Betul atau salah, biarlah rakyat menilai saya," katanya.

Ong, yang menceburi politik dengan menyertai MCA pada tahun 1981, berada dalam sektor korporat sebelum itu. Beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada menteri buruh dan timbalan presiden parti Tan Sri Lee Kim Sai.

Ahli politik berusia 61 tahun itu kemudiannya meniti menjadi ketua pemuda MCA, ahli parlimen, menteri kabinet dan Presiden MCA.

Menjelaskan keputusannya untuk berhenti, Ong berkata beliau memilih untuk berbuat demikian agar tidak membuat orang lain berasa tidak selesa.

"Jika saya kekal, ada yang akan berfikir saya sedang merancang untuk membuat kemunculan semula. Daripada membuat orang ini cemas, memberikan mereka persepsi yang salah, atau mewujudkan ruang untuk khabar angin...," katanya.

Rancangan masa depan

Ong juga menolak kemungkinan menyertai parti politik lain.

"Saya rasa lebih baik untuk menjadikan ini jelas... saya tidak mahu terlibat dalam politik partisan."

Sambil mengakui bahawa beliau ada parti-parti lain yang berhubungan dengannya, Ong bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Menjawab soalan lain, bekas presiden MCA itu berkata keputusannya tidak berkaitan dengan pilihan raya umum sama sekali kerana ada yang mengaitkannya dengan masa beliau berbuat demikian.

"Benar-benar tidak relevan. Bagaimana saya tahu bila pilihan raya akan diadakan? Saya percaya mereka yang menuduh saya juga tidak tahu bila tarikh (pilihan raya) itu," katanya.

Sesetengah pihak membuat spekulasi bahawa peletakan jawatannya berkaitan dengan kekecewaan tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi parlimen Pandan pada pilihan raya lalu.

Ada juga mendakwa keputusan itu berkaitan kekalahannya dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan presiden MCA pada tahun yang sama, membabitkan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan naib presiden ketika itu, Gan Ping Sieu

"Selepas pilihan raya umum... Idea saya adalah untuk memberikan diri satu lagi peluang (bertanding pada emilihan parti)," katanya.

Walau bagaimanapun, Ong hanya memperoleh 160 undi daripada 2,352 perwakilan pusat atau tujuh peratus daripada jumlah undi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen