malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perkahwinan: Buang budaya menunjuk-nunjuk - Pemuda AMANAH
Diterbitkan:  Mar 3, 2017 6:34 AM
Dikemaskini: Mar 3, 2017 4:02 AM
ADS

Sayap Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membidas budaya masyarakat Melayu yang gemar menunjuk-nunjuk sehingga membantutkan hasrat generasi muda hari ini untuk melangsungkan perkahwinan.

"Ibu bapa seharusnya mampu membuat keputusan untuk tidak terikut-ikut dengan trend mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dan meletakkan hantaran yang tidak masuk akal hingga akhirnya membunuh hasrat berumah tangga generasi muda.

"Budaya menunjuk-nunjuk ini sama sekali tidak mempunyai asas dan wajar dihindarkan," kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar lelaki yang berkemampuan supaya cepat berkahwin untuk memperoleh zuriat dan secara langsung menambah bilangan penduduk negeri Perlis.

Katanya, Islam menuntut lelaki yang berkemampuan zahir dan batin berkahwin dan tidak wajar melengahkannya kerana sikap demikian menyebabkan bilangan umat Islam lambat bertambah.

Saranan Mohd Asri itu turut mendapat sokongan Persatuan Ibu Tunggal Perlis (Perkit) yang menyifatkan cadangan itu sebagai wajar kerana ramai lelaki yang memenuhi syarat, tidak berkahwin.

"Jika mereka (lelaki yang berkemampuan) berkahwin awal akan dapat mengurangkan jumlah wanita yang tidak bertemu jodoh dan mungkin golongan ibu tunggal," kata Yang Dipertua Perkit, Saadiah Habil.

Mengulas lanjut, Shazni Munir berkata, generasi muda kini tersepit dengan pendapatan yang semakin mengecil akibat kos kehidupan yang melambung tinggi.

"Lebih buruk, trend meletakkan hantaran tinggi pula seolah-olah tidak mampu dikawal. Menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), 56 peratus responden lelaki dan 26 peratus responden wanita menjadikan faktor kekangan kewangan sebagai punca tidak atau lambat berkahwin," jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri mungkin boleh memikirkan bentuk insentif terhadap ibu bapa yang berani mengecualikan hantaran terhadap bakal menantu.

"Sedikit sebanyak, polisi sebegini mampu membuka mata masyarakat untuk menghindarkan adat yang menyusahkan urusan agama (perkahwinan).

"Memaklumi cadangan ini sememangnya kontroversi dan menyentuh persoalan status quo dalam hal ehwal adat, kami sedia untuk berdialog dengan semua pihak bagi memulakan ruang perbincangan.

"Setidak-tidaknya, kita telah memulakan langkah pertama untuk serius menangani masalah ini," tambah beliau.

Lihat Komen