malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AJK PAS harap Hadi tak sambut cabaran mufti
ADS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pasti tidak akan setuju dengan cabaran debat yang ditawarkan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin, bagi membincangkan sama ada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 wajib dipinda ada tidak.

Ahli Jawatankuasa PAS Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata Asri tidak seharusnya menjatuhkan satu sama lain, sebaliknya sebagai agamawan, beliau harus menyokong pindaan akta tersebut.

“Sebagai mufti yang kerjanya untuk agama, mempertahankan agama, inilah masanya (menyokong) dan bukannya untuk menjatuhkan satu sama lain dan menunjukkan pandangan kita (dia) yang betul dan orang lain tak betul.

“Saya tak setuju dengan pendekatan tersebut dan saya yakin Hadi pun tak setuju dengan kaedah itu. Saya rasa tak perlu untuk berdebat dan kalau betul pun Dr Asri nak ajak berdebat, saya nasihatkan kepada Hadi, jangan disambut cabaran itu,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas forum Pasca Himpunan 355 di Bazar Harakah di ibu negara hari ini.

Hari ini, Asri berkata beliau bersedia untuk berdebat berkenaan pindaan Akta 355 dengan Hadi sahaja, sekiranya pimpinan utama PAS itu bersetuju untuk berbuat demikian.

Reaksi Asri itu menyusul selepas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyarankan debat itu hanya sesuai diadakan antara Asri dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Ia berikutan kritikan Asri terhadap sebahagian kandungan ceramah Khairuddin baru-baru ini yang berkata jika ada mufti yang berkata pindaan akta itu tidak wajib, kepalanya patut disekeh.

Ujar pemimpin PAS itu, pindaan tersebut wajib disokong supaya jumlah hukuman sebat bagi penzina, qazaf dan minum arak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, kaedah debat tersebut tidak mendatang apa-apa faedah, sebaliknya membuatkan lebih ramai lagi masyarakat keliru dengan cadangan pindaan hukuman jenayah syariah ini.

Fadzli turut menasihati Asri supaya menyokong apa sahaja usaha dilakukan asalkan baik untuk kepentingan Islam.

“Saya nasihatkan kepada ilmuwan Islam apa yang baik, kita sokong. Kalau kita tak berpuas hati, kita mendedahkan keburukan dan kelemahan di khalayak awam.

“Kita mesti ambil pendekatan lebih diplomatik, harmoni, berdialog sebegini supaya kita boleh cari pendekatan lebih baik dan kondusif, kalau ada kelemahan kita perbaiki,” katanya.

Bidas Husam

Sementara itu, Fadzil membidas kenyataan bekas exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa bahawa kononnya beliau bimbang dengan peningkatan kes-kes yang dibawa ke mahkamah semasa pentadbiran PAS sekarang berbanding dahulu.

Fadzli berkata, perkara itu tidak berbangkit memandangkan terdapat juga kes yang ketika di zaman pemerintahan Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang belum lagi selesai.

“Ada kes lama dan ada kes baru, kebanyakan kes itu belum diputuskan dan kita tak tahu siapa yang bersalah, mungkin kerajaan Kelantan akan menang kes itu. Dan yang putuskan semalam belum final. Kita dalam proses untuk kepada mahkamah rayuan.

“(Husam) tak boleh dibuat perbandingan kerana saya sudah jadi exco pada zaman tok guru di zaman Datuk Husam pun jadi exco, saya boleh melihat ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Kita tak boleh melihat kelemahan satu-satu pentadbiran itu kerana banyaknya kes semata-mata tanpa melihat latar belakang kes itu sendiri,” katanya.

Lihat Komen