malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Najib senaraikan 4 manfaat kunjungan Raja Salman
Diterbitkan:  Mar 2, 2017 4:32 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Sambil mengucapkan rasa terima kasih kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud atas kunjungan baginda beserta seramai 600 delegasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyenaraikan empat manfaat utama atas kedatangan buat kali pertama raja Arab Saudi itu ke negara ini.

"Alhamdulillah, lawatan ini adalah lawatan yang berjaya bagi kedua-dua belah pihak, dan suka saya berkongsi empat erkara utama daripadanya yang akan memanfaatkan rakyat secara langsung.

"Pertama ialah lebih banyak biasiswa untuk rakyat Malaysia, kedua penambahan kuota Haji, dan 2 pusat jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah, ketiga pekerjaan dan pelaburan serta keempat, pelbagai jenis peluang di Arab Saudi untuk perniagaan dan usahawan Malaysia," kata Najib dalam blognya.

Semalam, Raja Salman berlepas menuju ke Indonesia selepas menamatkan lawatan negara selama empat hari ke Malaysia mulai Ahad lepas.

Raja Salman diberi sambutan negara pada Ahad di Dataran Parlimen untuk memulakan lawatan negara serta mempunyai jadual padat antaranya menghadiri majlis santapan negara di Istana Negara yang diraikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Baginda turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik (Islam dan Wassatiyyah) serta Anugerah Pencapaian Cemerlang Seumur Hidup oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Lawatan Raja Salman juga menyaksikan beberapa perjanjian persefahaman ditandatangani termasuk Perjanjian Pembelian Saham bernilai RM31 bilion antara Saudi Aramco dan Petronas.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia itu adalah atas jemputan Sultan Muhammad V.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan Arab Saudi akan menambah tiga kali ganda jumlah biasiswa buat pelajar Malaysia di Arab Saudi bermula tahun hadapan.

Katanya, biasiswa ini bermakna lebih ramai pelajar akan berupaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka

Selain itu, ujar Najib, berkenaan permohonan untuk meningkatkan kuota Haji, Raja Salman telah memberikan maklum balas positif dan akan memberi pertimbangan secara mendalam.

"Kita juga telah menyampaikan permohonan untuk membina 2 pusat jemaah haji, satu di Mekah berdekatan Masjidil Haram dan satu lagi di Masjid Nabawi di Madinah. Permohonan ini juga mendapat maklum balas positif daripada Raja Salman dan akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi," tambah beliau.

Dari segi pekerjaan dan pelaburan, Saudi Aramco akan membuat pelaburan RM31.08 bilion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Johor.

"Ia akan mewujudkan banyak peluang kepada rakyat, daripada peluang pekerjaan hinggalah kepada pembangunan dalam industri sokongan seperti runcit, kewangan, pembinaan, perkhidmatan dan banyak lagi.

"Industri lain seperti ekonomi halal, perkhidmatan kewangan Islam dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) turut akan mendapat manfaat," katanya lagi.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berada pada RM13.99 bilion pada 2016, jelasnya.

Pada masa yang sama, para peniaga Malaysia akan turut mendapat manfaat daripada kunjungan ini, katanya.

"Dengan populasi seramai 31.7 juta orang, Arab Saudi adalah ekonomi ke-20 terbesar di dunia dan tersenarai di tempat ke-5 ekonomi paling pesat membangun dalam kalangan negara G20 dengan keluaran dalam negara kasar US$ 640 bilion.

"Sama seperti Malaysia, Arab Saudi turut telah mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, termasuk memperkenalkan GST.

"Sebagai contoh, salah satu sasaran utama Arab Saudi adalah meningkatkan jangka hayat daripada 74 hingga ke 80 tahun. Ini akan membuka peluang kepada industri kesihatan terutamanya perkhidmataan penjagaan penduduk warga emas," tambahnya.

Satu lagi contoh adalah sasaran Arab Saudi untuk meningkatkan pengunjung yang datang menunaikan ibadah umrah daripada 8 juta ke 30 juta orang, kata Najib.

"Ini akan membawa kepada penambahan permintaan bagi sektor-sektor seperti telco dan ICT, infrastruktur, kandungan digital, tenaga, pelancongan dan hospitaliti, kesihatan, teknologi hijau, peruncitan dan juga pengangkutan.

"Peluang unik juga akan tersedia bagi perniagaan dalam sektor seperti e-commerce, tenaga boleh diperbaharui, hiburan dan riadah, perkhidmatan kewangan dan banyak lagi," jelasnya.

Lihat Komen