malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dana Felda 'lesap': Mungkin lebih RM4.3b, kata Rafizi
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 4:09 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau akan memberi peluang kepada Pengerusi Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menjelaskan apa yang didakwanya mengenai 'kehilangan' dana agensi itu sebanyak RM11.4 bilion.

"Baki tunai yang diwarisi oleh Tan Sri Isa Samad semasa beliau mengambil alih kepimpinan Felda adalah RM5.372 bilion (iaitu RM4.584 bilion dicampur RM788 juta).

"Sejak 2010, Felda juga mengambil pelbagai hutang terutamanya dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Sebahagian dari pinjamin ini diberikan pula kepada anak-anak syarikat seperti FGV, sebahagiannya digunakan oleh Felda sendiri.

"Semakan penyata kewangan terakhir yang dimuktamadkan iaitu tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan jumlah hutang kumpulan Felda (sebahagian besarnya dengan KWSP) telah mencecah RM7.769 bilion. Jumlah baki tunai terkumpul bagi kumpulan Felda bagi tempoh yang sama ialah RM1.706 bilion.

"Maka, jumlah wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan oleh Kumpulan Felda adalah RM11.354 bilion (iaitu Baki di tangan @ 2010 + Pinjaman 2010 ke 2014 – Baki di tangan @ 2014)," katanya dalam kenyataan.

Sebab itu, tambah Rafizi, beliau menegaskan berkali-kali masalah kewangan Felda adalah lebih meruncing dan jumlah wang yang berkemungkinan besar telah lesap adalah lebih tinggi dari RM4.3 bilion yang disebut.

Sebelum ini, ketika mula-mula menjawat jawatan pengerusi Felda, Shahrir mempersoalkan ke mana baki RM4.3 bilion hasil penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dibelanjakan.

"Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV iaitu harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion kita belanjakan sebagai durian runtuh.

"Kita sampaikan kepada peneroka dan keluarga mereka iaitu RM15,000 satu keluarga dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

"Jadi RM4.3 bilion ini mana pergi?," katanya.

Bagaimana, beberapa hari selepas itu, Shahrir menjelaskan tidak berlaku kehilangan dana RM4.3 bilion di dalam agensi tersebut sambil menegaskan kenyataannya mengenai dana itu telah dipesongkan oleh beberapa portal berita.

Katanya, beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh Felda di dalam dan luar negara.

"Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka Felda dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.

"Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pihaknya ingin menegur Shahrir kerana penilaian beliau mengenai jumlah wang Felda yang telah dibelanjakan apabila mempersoalkan dana Felda RM4.3 bilion itu bukan sahaja tidak tepat, malah menyembunyikan angka yang sebenar.

"Jumlah RM4.3 bilion yang beliau sebut hanya menyentuh hasil dari penjualan saham FGV kepada rakyat. Jumlah itu adalah sebahagian sahaja dari keseluruhan wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan Felda sejak tahun 2010 iaitu sejak Isa mengambil alih kepimpinan Felda.

Malah, kata Rafizi, beberapa siri penangkapan oleh SPRM setakat ini hanya melibatkan pengurusan kanan berpangkat pertengahan dan jumlah penyelewengan yang terbabit iaitu beberapa ratus juta adalah terlalu sedikit berbanding jumlah RM11.354 bilion yang perlu dijawab oleh Shahrir.

"Saya akan terus menunggu untuk memberi peluang kepada Shahrir menjawab soalan cepumas ini," ujarnya lagi.

Lihat Komen