Rafizi: Jelaskan jika deposit RM654 juta FGV sudah dikembali

(Dikemaskini )

Felda Global Ventures Holdings (FGV) diminta untuk menjelaskan jika bayaran AS$174.5 juta yang dibayar kepada Kumpulan Rajawali Group pada 2015 telah dikembalikan.

Ini ditimbulkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berikutan pembatalan perjanjian FGV untuk mengambil alih kepentingan 37 peratus dalam kepentingan Eagle High Plantations Tbk daripada kumpulan itu.

FGV dikehendaki membayar AS$174.5 juta kepada Rajawali sebagai deposit dan jumlah wang itu, termasuk faedah, hendaklah dibayar balik jika perjanjian itu terbatal.

Angka yang berjumlah RM654 juta (AS$1= RM3.70) adalah berdasarkan kadar pertukaran ketika perjanjian awal dimeterai pada bulan Jun 2015.

“Pengesahan bahawa rancangan jual beli saham itu ditamatkan dibuat oleh FGV dalam satu notis kepada Bursa Malaysia bertarikh 23 Disember 2016.

“Oleh kerana perkara ini berlaku dihujung tahun 2016 dan laporan keputusan kewangan FGV bagi suku keempat 2016 belum dikeluarkan, sehingga kini tidak ada maklumat mengenai deposit berjumlah RM654 juta ini,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, yang juga adalah ahli parlimen Pandan, meminta FGV menjelaskan jika sememangnya bayaran deposit seperti yang digariskan dalam perjanjian muka sudah dikembalikan, FGV perlu menyatakan bila tarikhnya.

Rafizi berkata langkah-langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk memastikan bahawa deposit itu tidak akan disalahgunakan.

FGV pada Jun 2015 mengumumkan ia merancang untuk membeli kepentingan 37 peratus dalam Eagle High Plantations Tbk pada harga AS$680 juta.

FGV, sebuah syarikat senarai awam, dibidas berhubung perjanjian itu yang dilihat sebagai terlalu mahal.

Perjanjian itu akhirnya dibatalkan tetapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), sebuah agensi kerajaan, pula membuat tawaran baru.

Felda menawarkan AS$505.4 juta untuk membeli tiga kepentingan sama dalam Eagle High Plantations Tbs, diskaun sebanyak 26 peratus daripada tawaran permulaan FGV.

Rafizi berkata deposit FGV hendaklah dikembalikan kepada syarikat berkenaan dan tidak boleh digunapakai sebagai membiayai kos perolehan Felda bagi memiliki kepentingan 37 peratus itu.

Felda menguasai pegangan 21.25 peratus dalam FGV.

[Baca berita penuh]


Artikel berkaitan

Share