malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Sepanjang tempoh 48 jam lalu, kita diperlihatkan dengan satu lagi perbezaan ketara antara PAS versi Datuk Nik Aziz Nik Mat, dan PAS versi Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Suatu sandiwara penyebaran berita palsu dan fitnah telah berlangsung semasa penyampaian memorandum - kononnya - oleh akar umbi PAS kepada Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, yang meminta Jawatankuasa Pusat PAS memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang mempunyai pertalian dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), diiringi beberapa poster menyerang pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sepanduk yang mahal dan berwarna-warni menyerang pemimpin HARAPAN dan BERSATU - termasuk satu daripadanya memaparkan wajah saya dan label "Musuh Melayu/Islam (Rasis)" - dipamerkan di luar Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur bagi menyampaikan rasa benci bersangatan terhadap pimpinan DAP, AMANAH dan BERSATU seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan saya sendiri.

Ini adalah sesuatu yang tidak akan terjadi dalam PAS versi Nik Aziz, kerana tidak akan ada ketua penerangan PAS yang akan berani mengatur dan menjalankan aksi politik nakal sedemikian, kerana pasti akan mengundang kemarahan beliau.

Tetapi Nik Aziz sudah tiada, dan apa yang ada hari ini ialah PAS versi Hadi.

Nik Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau pengkhianatan politik, terutamanya oleh pemimpin PAS.

Jika DAP dan pemimpinnya adalah anti-Melayu dan anti-Islam, kenapa PAS menganggotai Pakatan Rakyat antara 2008 hingga 2013 dan mendapat sokongan majoriti undi popular pada pilihan raya umum ke-13?

Langkah itu hampir menghalau Umno/BN keluar dari Putrajaya andainya sistem pilihan raya benar-benar adil dan demokratik.

Ia juga menjadikan Datuk Seri Najib Razak perdana menteri minoriti pertama di negara ini yang hanya memenangi 47 peratus undi popular, tetapi menguasai 60 peratus kerusi parlimen.

Senario sebenar berbeza

Kalau DAP dan pemimpin DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi mantan pengerusi DAP Karpal Singh di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013?

Ketika itu majlis hari lahir Nik Aziz yang ke-82 turut disambut dengan kek Pakatan Rakyat.

Kenapa begitu banyak perubahan terhadap PAS setelah kematian Nik Aziz pada Februari 2015?

Sekiranya Nik Aziz masih hidup, saya tidak fikir PAS akan teragak-agak untuk menyertai pergerakan patriotik parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah kleptokrasi global dan nasibnya menuju ke arah sebuah negara gagal.

Malah, sekiranya Nik Aziz masih hidup, PAS akan berada di barisan paling depan mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam skandal 1MDB, dan bukannya membiarkan presiden PAS kian selesa bersama presiden Umno serta berpendirian, tidak menjadi masalah andai Malaysia menjadi negara kleptokrasi asalkan perdana menterinya beragama Islam.

Walaupun sandiwara 48 jam lalu didakwa berpunca dari akar umbi PAS tiada siapa yang akan terperanjat jika sebenarnya memorandum dan poster menyerang pimpinan DAP, AMANAH dan BERSATU itu adalah hasil karya agung ketua penerangan PAS sendiri.

Serangan terhadap DAP, AMANAH dan BERSATU adalah suatu deklarasi perang oleh kepimpinan PAS terhadap DAP, HARAPAN dan BERSATU.

Walaupun sandiwara itu cuba dialas - kononnya berpunca daripada akar umbi PAS Selangor - senario sebenar adalah sangat berbeza.

Hakikatnya, akar umbi PAS Selangor sudah sangat tidak berpuas hati dan bergolak ekoran pendirian keras PAS versi Hadi yang selesa bersama Umno pimpinan Najib, dan mempertahankan perdana menteri dalam skandal pengubahan wang kleptokratik 1MDB.

Ini menjelaskan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS minggu lalu.

Kata Iskandar kalau pun Jawatankuasa Pusat PAS dan majlis syura parti itu memutuskan untuk berpisah dengan PKR, exco mereka di Selangor, anggota syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis kerajaan tempatan dan ketua kampung tidak akan meletakkan jawatan sehinggalah keputusan dibuat pada muktamar PAS April nanti.

PAS Selangor berkemungkinan kehilangan kesemua 15 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU ke-13 lalu memandangkan pengundi Islam dan bukan Islam kecewa dengan hala tuju baru parti pimpinan Hadi ketika ini.

Saya percaya jika Nik Aziz masih ada, beliau tidak akan ada masalah menyokong kenyataan dan aspirasi saya bahawa rakyat tidak boleh bersifat mana-mana kaum sehingga mengkhianati aspirasi negara sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Tetapi Hadi sangat berbeza dan saya akan sangat terkejut sekiranya beliau mampu menyokong kenyataan dan aspirasi tersebut secara terbuka.

Dalam ucapan pada Konvensyen Reformis Malaysia hujung minggu lalu, saya merujuk kepada tiga cabaran utama yang bukan saja ditujukan kepada warga reformasi, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang patriotik dan mahu menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal dengan kleptokrasi global.

Tiga cabaran dalam dalam PRU ke-14 yang bakal berlangsung pada suku kedua atau ketiga tahun ini adalah:

  • Pertama, mempertahan sokongan terhadap perubahan oleh pengundi Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak untuk DAP dan PKR dalam PRU ke-13 lalu;
  • Kedua, mendapatkan sokongan 3.5 juta ahli dan pengundi Umno supaya menyokong kempen Selamatkan Malaysia, dalam pertarungan antara ‘Demokrasi lawan Kleptokrasi’;
  • Ketiga, mendapatkan sokongan ahli dan pengundi PAS supaya menyokong kempen Selamatkan Malaysia bagi memastikan kemenangan demokrasi mengatasi kleptokrasi pada PRU ke-14, serta memastikan semangat dan kenangan Nik Aziz kekal hidup.

Sekiranya kita boleh mencapai tiga matlamat ini pada PRU ke-14 nanti, Malaysia akan dapat diselamatkan dan kita boleh menyambut sebuah negara baru melalui penambahbaikan sistem dan institusi bagi memastikan ia tidak lagi kembali menuju kleptokrasi dan menjadi sebuah negara gagal.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Gelang Patah dan bekas setiausaha agung DAP. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen