malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Umno sedia kerjasama dengan PAS di Selangor
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 6:16 PM
Dikemaskini: 11:03 AM
ADS

Naib Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan PAS bagi merampas semula negeri itu dari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata Mat Nadzari lagi, beliau secara peribadi menyambut baik akan perkara itu.

"Bagaimanapun, ia terserah kepada presiden parti untuk menentukan mengenai perkara tersebut," katanya, memetik laporan portal BNBBC.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan tentang perancangan HARAPAN membahagikan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tanpa PAS.

Rancangan tersebut dikatakan membabitkan agihan 18 kerusi DUN untuk PKR, 15 untuk DAP manakala lebihan 15 kerusi lagi yang asalnya milik PAS dibahagikan kepada dua parti baru iaitu 14 untuk Parti Amanah Negara dan 9 lagi untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meminta PAS supaya mempertimbangkan untuk menarik diri dari kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, katanya, untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH secara jelas memutuskan hubungan kerjasama dengan PKR.

“Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti mana BERSATU sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan AMANAH, malah menanda tangani 'perjanjian kerjasama politik' untuk meranapkan kuasa politik Umno/BN pada PRU ke-14 nanti.

“Oleh itu secara prinsipnya hubungan kerjasama PAS dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Presiden PAS,” kata Mahfuz.

Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, Umno Selangor sentiasa berlapang dada apa lagi kalau sesuatu perbuatan itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Walau apapun, kita kena ikut apa kata presiden kita,” katanya.

Lihat Komen