malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cadangan litar lajak Johor diserah pada MB
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 5:19 PM
Dikemaskini: 12:34 PM
ADS

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor hari ini menyerahkan kertas cadangan litar lajak Johor kepada kerajaan negeri bagi mengelakkan kemalangan berbasikal berulang.

Ketua Pemudanya Taqiyuddin Cheman berkata kertas itu diserahkan kepada pejabat menteri besar Datuk Seri Khaled Nordin di Johor Bahru hari ini.

“Pemuda AMANAH berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan kertas cadangan kami untuk mewujudkan litar bagi remaja berbasikal sebagai alternatif selepas peristiwa kemalangan yang meragut lapan nyawa di jalan Lingkaran Dalam Johor Baharu baru-baru ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi hujung minggu lepas, lapan remaja lelaki maut manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal apabila basikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta, bersebelahan perkuburan Mahmoodiah.

Menurut polis, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak kumpulan remaja berbasikal yang dipercayai menghalang jalan.

Dalam kenyataan hari ini, Taqiyuddin berkata, langkah proaktif terhadap “keghairahan remaja yang menggila” mestilah dilakukan daripada membiarkan ia sukar dikawal pada masa depan.

“Tempat cadangan yang Pemuda AMANAH letakkan adalah sekitar tempat yang khusus menjadi tumpuan remaja berkumpul. Litar perlu diadakan di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

“Litar ini perlu dilengkapkan dengan peralatan keselamatan, ruang penonton, insurans perlindungan, kecuraman jalan yang bersesuaian, pilihan reka bentuk basikal yang bersesuaian dan penyediaan 'drafting' dengan adanya kenderaan untuk diekori.”

Taqiyuddin tidak mendedahkan lanjut butiran cadangannya tetapi berkata alternatif mereka itu hanya menggunakan kos rendah dan selamat, selain mudah dipantau.

“Pemuda AMANAH berharap pihak kerajaan negeri Johor dapat memandang serius mengenai cadangan yang telah diserahkan.

“Pemuda AMANAH Johor sedia bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk membangunkan remaja di negeri Johor,” katanya.

Lihat Komen