malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS anggap Husam tak profesional
Diterbitkan:  Feb 21, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 7:29 AM
ADS

Pemuda PAS Kelantan menganggap Datuk Husam Musa sebagai "sangat tidak profesional" kerana muncul pada ceramah yang dibuat untuk mengecam bekas exco Kelantan itu malam tadi.

Mendakwa Husam mencetuskan provokasi, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ceramah itu sepatutnya berlangsung secara aman.

“Kami amat kesal dengan tindakan provokasi yang berlaku kerana majlis ini sepatutnya berlangsung dengan aman, tiada sebarang gangguan namun dikejutkan dengan kehadiran pihak-pihak yang datang untuk buat kacau dan berucap," katanya dipetik Sinar Harian.

Malam tadi Husam membuat kemunculan mengejut pada ceramah PAS bertajuk Husam Lari Dari Debat Baiah yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Tak sangka secara peribadi

Debat itu merujuk kepada usaha mempertemukan Husam dengan exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dengan Husam berhubung keabsahan baiah yang mengikat wakil rakyat PAS.

Ia timbul apabila beberapa pemimpin PAS meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Husam menyertai AMANAH secara rasmi pada 30 Ogos 2016.

Bekas naib presiden PAS dan setiausaha politik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu meminta kepada pengerusi majlis untuk diberi masa berucap kerana ceramah itu dibuat khusus untuk memperkatakan dirinya.

Bagaimanapun difahamkan Nassuruddin tidak bersetuju.

Ahmad Fadhli berkata sebagai penganjur mereka boleh membenarkan mana-mana individu yang tidak disenarai dalam permit untuk berucap.

Jika dibenarkan juga, kata Ahmad Fadhli, mereka dianggap bersalah dari segi undang-undang.

“Sebab itu kami ambil keputusan untuk tidak benarkan mana-mana pihak berucap kecuali mereka yang telah kami pohon terdahulu.

"Secara peribadinya, saya tidak jangkalah seorang bekas pimpinan yang pernah ada dalam kerajaan bersikap tidak profesional seperti ini,” katanya.

Lihat Komen