malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'4 warga Korea Utara berlepas sejam selepas pembunuhan'
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 11:38 PM
Dikemaskini: 3:40 PM
ADS

Tempat itu dipenuhi orang ramai termasuk anggota polis bantuan, namun tiada siapa menyedari perbuatan dua wanita yang menekup muka Kim Jong-nam dengan kain mengandungi cecair beracun.

Tiada siapa, pastinya, kecuali empat warga Korea Utara yang duduk di sebuah restoran berhampiran menyaksikan keseluruhan insiden itu.

Sumber syarikat penerbangan memberitahu Bernama, mereka berlepas dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 9.50 pagi, kira-kira sejam selepas pembunuhan itu.

Seorang pelayan restoran berkata dia dan rakan setugasnya tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena.

"Ketika itu waktu puncak. Saya tidak fikir ada antara kami yang memberikan perhatian khas kepada mana-mana orang. Kami hanya menyedari keempat-empat mereka berada di restoran kami selepas melihat rakaman CCTV," katanya.

Seluruh kawasan itu diliputi CCTV yang membolehkan polis mengesan dua wanita itu.

Juga daripada rakaman CCTV polis mengenal pasti empat suspek warga Korea Utara itu yang duduk kira-kira 50 meter dari kedudukan Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, semasa Jong-nam diserang.

Jadi, kenapa wanita berkenaan melakukan tindakan itu dan di tempat yang disedari mereka bahawa perbuatan mereka itu akan dirakamkan?

Lagipun, hasil pemerhatian dua pemberita Bernama ini, kedudukan CCTV dapat dilihat dengan jelas oleh orang awam, dan ia meliputi kawasan kaunter maklumat dan daftar masuk, tempat perbuatan itu dilakukan pada kira-kira 8.20 pagi Isnin.

Jenayah itu dilakukan di aras tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Kl 2 (klia2), pada jarak kira-kira 50m dari kaunter maklumat dan restoran bersebelahannya.

Ia hanya mengambil masa 2.33 saat untuk meracuni Jong-nam, yang meminta bantuan di kaunter maklumat itu sebelum dibawa ke klinik perubatan Menara di aras dua.

Menjejaki laluan digunakan Jong-nam dan dengan mengambil kira keadaannya, kami mendapati beliau perlukan 10 hingga 15 minit untuk turun ke aras dua dari aras tiga dengan melalui aras 2M.

Bagi dua wanita itu, pergi ke aras tiga untuk ke stesen teksi mengambil masa kira-kira 15 ke 20 minit.

Ini dengan mengandaikan bahawa mereka sudah biasa dengan kawasan klia2, yang amat besar dan mengelirukan dengan terdapat banyak eskalator menuju ke lokasi berbeza.

Menurut laporan, dua wanita itu memberitahu polis mereka telah berlatih beberapa kali melakukan tindakan menekup muka Jong-nam dengan kain dan kemudian melarikan diri, mempercayai semua itu hanya untuk main-main.

Keempat-empat lelaki itu dipercayai dalang pembunuhan dan disahkan telah keluar dari negara ini dan dilaporkan sudah berada di Korea Utara.

Imigresen Indonesia menyatakan keempat-empat mereka telah berlepas dari Jakarta ke Dubai pada 10.20 malam waktu tempatan pada Isnin.

Jong-nam sedang menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau semasa beliau diserang.

Jong-nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.

- Bernama

Lihat Komen