malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi kongsi emel rintihan bapa pelajar UniKL
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 7:51 AM
ADS

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkongsi kiriman emel oleh seorang bapa pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang meminta agar beliau membantunya kerana merupakan seorang pesara.

Catatan email tersebut adalah seperti berikut: "Anak saya belajar di UNIKL MFI Bangi. Sekarang sudah hampir masuk ke semester 2 masih lagi tidak mendapat borang agreement pinjaman pelajaran.

"Dokumen telah dihantar pada hujung semester satu. Persoalannya, bilakah wang pinjaman akan di bayar. Saya terpaksa mengeluarkan RM700 setiap bulan untuk sara hidup anak saya.

"Saya sudah menyara anak selama 7 bulan. Sedangkan saya hanyalah seorang pesara. Harap YB dapat membantu." menurut email berkenaan.

Kata Rafizi yang juga naib presiden PKR, aduan seperti itu dihantar kepada beliau secara berterusan.

"Sebab itu, rakyat begitu marah apabila dokumen yang menunjukkan penajaan pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa menggunakan dana UniKL mula menjadi tular.

"Nasib baik dokumen itu tidak datang dari saya dan datang dari YTM Tengku Mahkota Johor, jika tidak sudah tentu saya terpaksa bermalam di dalam lokap," katanya dalam kenyataan.

Justeru, ujar Rafizi, beliau ingin mengingatkan Annuar bahawa walaupun digantung perkhidmatan sebagai pengerusi MARA, beliau masih lagi pro-canselor II UniKL.

"Beliau masih lagi bertanggungjawab menyelesaikan segala kemelut kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran pembiayaan sedangkan pelbagai janji telah diberikan sebelum ini," tambahnya.

Terbaru, Rafizi dimaklumkan UniKL menaikkan sewa bulanan bagi beberapa kampusnya iaitu UniKL MIIT (Kuala Lumpur), UniKL MICET (Alor Gajah) dan UniKL MITEC (Masai) menjadi RM150 sebulan.

"Semakan kepada yuran bulanan (mengikut sistem semester yang lama iaitu 5-2-5) menunjukkan sewa bulanan sebelum ini ialah antara RM110 ke RM120 sebulan, iaitu peningkatan sehingga 25 peratus.

Perkara ini berlaku tatkala UniKL menaja pasukan bolasepak di bawah kelolaan Annuar dengan seolah-olah pelajar terpaksa membayar lebih dan sebahagian wang yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan politik pemimpin tertentu, katanya.

"Saya menunggu maklum balas dari Annuar, MARA dan UniKL dengan desakan supaya kenaikan yuran ini dihentikan serta merta," katanya lagi.

Lihat Komen