malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mendepani DAP 'hari ini', bukan yang 'semalam'
ADS

ULASAN Riuh-rendah mengenai tindakan empat wakil rakyat DAP di Melaka keluar parti setelah mendakwa parti itu menyimpang dari prinsip perjuangan asal nampaknya sudah semakin reda walaupun belum sampai seminggu lagi.

Ekoran dakwaan tersebut, 'melompat-lompat' beberapa pihak yang mesra Umno dan dalam Barisan Nasional (BN) menjadi 'pak nujum' dengan meramalkan lebih ramai pemimpin dan ahli DAP akan keluar parti.

Alasan yang paling ketara ialah akar umbi DAP tidak dapat menerima kerjasama antara Lim Kit Siang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai 'seteru sepanjang zaman' parti itu dan keluar parti menjadi jalan terakhir untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

Selain itu, DAP juga dikatakan tersilap percaturan dengan melaksanakan strategi yang tidak akan menguntungkan pihaknya di sebalik keperluan parti itu untuk meletak lebih ramai calon pelbagai bangsa seperti yang dituntut oleh arus perdana.

Prinsip perjuangan DAP

Pun begitu, rata-rata para pemimpin DAP menyanggah dakwaan tersebut dengan hujah bahawa DAP terus komited terhadap prinsip asal perjuangannya dan berusaha keras sedaya upaya bertujuan untuk menyelamatkan Malaysia.

“Di saat negara mengalami krisis, pilihanraya umum semakin hampir, perlawanan antara yang menyokong Perdana Menteri Najib Razak dengan kleptokrasi globalnya, misi DAP adalah untuk menyelamatkan Malaysia.

“Dalam konteks ini strategi DAP adalah bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan PPBM. Tiada siapa pun menggadai prinsip. Ianya mengenai usaha untuk menyelamatkan Malaysia,” memetik kajian yang dijalankan DAP.

Harus difahami oleh semua, bezanya dahulu berbanding sekarang, krisis dan skandal kleptokrasi global yang melanda negara pada masa ini jauh lebih 'besar' berbanding mana-mana dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang pernah melanda Malaysia.

Justeru, ia menghendaki serta menuntut suatu kesatuan yang jitu dan kerjasama atas kesepakatan niat yang sama merentasi segenap sudut kepartian dan fahaman politik untuk membawa Malaysia ke tahap yang sepatutnya.

Mahu atau tidak, setiap pemimpin parti pembangkang sama ada bekas pemimpin negara, pemimpin yang terpenjara mahupun pemimpin parti politik serta institusi yang bersara dan 'dibersarakan' perlu
mengembeling tenaga ke arah menyelamatkan Malaysia.

Bukan calang-calang cabaran

Ini kerana cabaran yang mendepani negara pasa masa ini bukan calang-calang lenggoknya setelah beberapa pucuk pimpinan institusi utama negara terpaksa menjadi 'korban' oleh pihak-pihak yang mahu mengekalkan kuasa di sebalik skandal yang mencalarkan nama Malaysia ke persada dunia.

Jika mereka-mereka bergelar Tan Sri yang memegang kuasa di beberapa institusi utama negara sekalipun boleh menjadi 'korban', apatah lagi pemimpin pembangkang yang hanya sekadar mampu berkata-kata
termasuk bekas perdana menteri yang kini tidak lagi berkuasa.

Dengan segala kekangan, rata-rata para pemimpin pembangkang, kecuali dari satu dua parti politik tertentu, tanpa melihat ke belakang atau kembali mengenang kisah-kisah lampau bergabung tenaga semata-mata untuk melawan arus yang membadai.

Dengan pilihan raya umum ke-14 yang bakal menjelma tidak lama lagi, ia menjadi satu-satunya platform yang sah dari segi undang-undang untuk menyelamatkan Malaysia dari regim sedia ada.

Ia terpaksa dilakukan walaupun DAP terpaksa berdepan banyak masalah terutama pengagihan kerusi di kalangan komponen Pakatan Harapan kerana kewujudan satu lagi parti politik berteraskan Melayu.

Ia harus dilaksanakan walaupun DAP juga terpaksa berhempas pulas 'melayan' soalan-soalan yang diutarakan oleh media arus perdana dikawal BN yang mencetuskan kempen propaganda memburuk-burukkan parti itu.

Ia wajib dilaksanakan walaupun DAP terpaksa mengadakan ratusan ceramah bergerak dan kelompok untuk menerangkan kepada ahli-ahli mengenai keputusan bekerjsama dengan Dr Mahathir dan isu-isu berkaitan yang berbangkit.

Ia juga wajar dilakukan walaupun DAP terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan ahli dan para pemimpin kanan yang masih taksub dan berdegil dengan pendirian, cara dan strategi lama lagi lapuk.

Ego Kit Siang, Mahathir

Ia belum termasuk kesanggupan Kit Siang dan Mahathir untuk membuang ego masing-masing, 'memaafkan' antara satu sama lain dan melupakan 'sengketa' antara mereka demi menyelamatkan Malaysia.

'Jiwa besar' yang ditunjukkan Dr Mahathir ini dapat dirasakan apabila beliau sanggup hadir pada konvensyen DAP ke-50 baru-baru ini selain mengakui kesilapan dalam memudaratkan imej DAP suatu masa dahulu, sesuatu yang wajar dihargai.

dap national congress 041216 lim kit siang mahathir 2

Oleh itu, mana-mana pihak yang mendakwa DAP bekerjasama dengan Mahathir ini merupakan sesuatu yang mudah demi meraih peluang dan merampas kuasa untuk ke Putrajaya wajar 'membebaskan' mindanya.

Sesungguhnya, DAP bersama pakatan pembangkang sedang berdepan ujian paling getir dalam sejarah politik negara untuk menyelamatkan Malaysia di sebalik segala pahit getir yang terpaksa diharungi demi
mencapai tujuan tersebut.

Tanpa kesatuan antara semua pihak, pastinya usaha menyelamatkan Malaysia ini menjadi sia-sia dan negara akan terus kekal di takuk yang lama tanpa daya upaya untuk menikmati sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.

Lihat Komen