malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kit Siang patut bantu pasukan forex - menteri Umno
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 12:00 PM
Dikemaskini: 4:05 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Lim Kit Siang seharusnya menjadi orang yang pertama menyokong penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara pada 1990an.

"Beliau begitu lantang di Dewan Rakyat dengan mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

"Justeru, ini adalah peluang terbaik untuk Lim membuktikan bahawa usul yang dibawa pada tahun 1993 dan 1994 berkaitan isu ini di Dewan Rakyat itu berasas," kata Azalina dalam kenyataan.

Beberapa hari yang lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urus niaga forex oleh Bank Negara pada 1990an.

Keputusan yang dibuat selepas mesyuarat kabinet menyatakan pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan RCI jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri itu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, ketua anggota Parlimen DAP itu harus tampil ke depan untuk membantu pasukan berkenaan dalam meneliti semua fakta-fakta yang berkaitan.

"Atau adakah beliau telah mengelirukan Dewan (Rakyat) pada masa itu," tanya ahli Parlimen Pengerang itu.

Sebagai seorang ahli Parlimen berpengalaman, Lim seharusnya menyokong usaha kerajaan dan bukannya mempolitikkan perkara ini, katanya.

Tambah beliau, malah kecenderungan Lim untuk berubah-ubah prinsip serta pendirian memperlihatkan sikap tidak konsistennya dan wajar dinilai oleh penyokong-penyokong DAP.

Keputusan Kabinet menubuhkan pasukan petugas itu membuktikan yang kerajaan sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara, jelasnya.

"Kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip rule of law dalam menyiasat apa-apa perkara untuk memastikan tiada sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.

"Kerajaan BN juga sentiasa bersandarkan kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty)," tambah Azalina.

Lihat Komen