malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keselamatan KLIA2: NGO bidas Kit Siang
Diterbitkan:  Feb 16, 2017 1:12 PM
Dikemaskini: 5:30 AM
ADS

Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A Chandrakumanan membidas pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang kerana mempolitikkan isu sistem keselamatan di KLIA 2 berikutan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara.

Sambil menyifatkan Kit Siang telah hilang arah ekoran tekanan berkaitan anaknya, Lim Guan Eng yang berdepan tuduhan rasuah, Chandrakumanan berkata, Lim perlu faham balai ketibaan dan pelepasan KLIA 2 melibatkan kawasan awam yang besar.

"Pemeriksaan keselamatan hanya dilakukan ke atas penumpang yang meninggalkan negara sebelum imigresen dan semasa menaiki pesawat.

"Selain daripada itu, pihak keselamatan lapangan terbang akan mundar-mandir di kawasan sekitar untuk memerhatikan sesiapa yang mencurigakan demi memastikan keselamatan pihak lain.

"Adalah tidak masuk akal untuk periksa setiap orang yang memasuki dan keluar dari lapangan terbang, tindakan Kit Siang itu lebih kepada meraih peluang untuk memperkecilkan kerajaan atas nama politik," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Kit Siang menuntut agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kelonggaran sistem keselamatan di KLIA 2.

Dalam satu kenyataan media, Kit Siang berkata, alasan perlu diberikan bagaimana lapangan terbang itu boleh bertukar menjadi 'taman permainan ejen asing'.

Mengulas lanjut, Chandrakumanan berkata, sebagai ahli Parlimen Kit Siang perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang sedemikian.

"Ini kerana mengatakan Malaysia tidak selamat di mata dunia adalah tidak munasabah sama sekali.

"Kit Siang tidak boleh membuat kesimpulan sedangkan siasatan masih dijalankan," tambahnya.

Lihat Komen