malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Pemuda AMANAH menyifatkan kadar faedah 4.75 peratus Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) untuk Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai sangat tinggi dan membebankan.

Walaupun memuji niat membantu rakyat, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Mohd Ammar Atan berkata kadar itu akan menggalakkan rakyat memiliki rumah secara tidak berhemah.

“Skim SPEF ini biarpun murni dari segi niatnya, secara tidak langsung akan menyumbang ke arah peningkatan hutang isi rumah.

“SPEF melayakkan pembeli PR1MA untuk meminjam jauh lebih banyak berbanding pinjaman konvensional,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur.

SPEF dilancarkan pada Isnin lalu dengan kerjasama Bank Negara, Maybank, CIMB, RHB dan AmBank.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dilaporkan berkata skim itu membolehkan pembeli yang layak membayar ansuran bulanan pinjaman rumah pada kadar yang lebih rendah daripada pinjaman biasa.

Selain itu Mutalib berkata, asas SPEF adalah pembiayaan 'step-up' atau berperingkat tanpa melibatkan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kaedah pembiayaan 'step-up' kedua pula melalui pengeluaran akaun 2 KWSP, dan dalam tempoh lima tahun pertama hanya faedah yang perlu dibayar, bergantung kepada pilihan pembeli.

Namun Ammar berkata, pembeli PR1MA terpaksa menerima kadar faedah yang lebih tinggi iaitu 4.75 peratus berbanding dengan purata pasaran iaitu 4.45 peratus.

Beliau turut memberi contoh jika harga seunit rumah adalah RM400,000 dan kadar pinjaman 35 tahun, pembeli perlu membayar ansuran bulanan lebih tinggi sebanyak RM75 sebulan dan jumlah lebihan itu akan mencecah hampir RM32,000 sehingga hutang itu langsai.

Ammar berkata, paling membimbangkan pembeli PR1MA boleh menggunakan akaun 2 KWSP bagi pembayaran semula.

“Kesannya, pada ketika persaraan, si peminjam akan mendapat simpanan KWSP 30 peratus lebih rendah daripada yang sepatutnya.

“Melalui skim ini, peminjam tidak dibenarkan mengakses akaun 2 KWSP selagi mana pembayaran semula pinjaman rumah tidak selesai,” katanya.

Ammar berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengkaji semula kadar itu.

“Kita sedang jalankan kajian terperinci dan cadangan mengenai perkara ini sebelum kita hantar memorandum pada KPKT minggu depan,” katanya.

Lihat Komen