malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PKR: Tunda keputusan SPM mesti diberi perhatian serius
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 5:00 PM
Dikemaskini: 10:39 AM
ADS

Kerajaan harus memandang serius kekangan dana yang dihadapi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP), yang didakwa sebagai punca penundaan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Kenyataan Shamsul itu susulan surat pekeliling LPM yang dipercayai bocor dan kemudiannya disebarkan di media sosial.

Menurut pekeliling itu, analisis keputusan peperiksaan yang sepatutnya diumumkan pada 2 Mac ditunda kepada 16 Mac kerana lembaga itu tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli mesin pemprosesan ‘optical mark recognition’ atau OMR baru bagi menggantikan mesin yang telah rosak.

Sebaliknya mereka terpaksa membaikinya sehingga menyebabkan pemprosesan data-data tertangguh.

Mesin OMR digunakan untuk menandakan kertas peperiksaan objektif yang ditandakan dengan menggunakan pensel pada kertas jawapan.

“Walaupun isu kerosakan mesin ini merupakan masalah teknikal namun kerajaan harus pandang serius kepada masalah ini yang saya percaya akan mendatangkan masalah-masalah lain pada masa akan datang.

“Ini sekaligus membantutkan operasi LP dalam menjalankan tugas mengawalselia peperiksaan awam dengan efisien,” kata Shamsul yang juga adalah ahli parlimen Bukit Katil.

Beliau berkata Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid perlu mencari penyelesaian segera serta bersifat jangka panjang bagi memastikan kelancaran tugas oleh LP mengendalikan peperiksaan awam.

Pekeliling LP yang dihantar pada 12 Januari lalu, memaklumkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan tentang perubahaan tarikh pengumuman analisis keputusan SPM.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof hari ini mengesahkan tarikh baru untuk pengumuman keputusan SPM akan dibuat pada 16 Mac ini tetapi tidak melnghuraikan mengenai kekangan dana untuk membeli mesin baru.

Beliau memberi jaminan bahawa keputusan peperiksaan berkenaan adalah tepat.

Lihat Komen