malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH mahu kaedah khas kawal PM di parlimen
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 12:54 PM
Dikemaskini: 4:56 AM
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan kaedah atau undang-undang khas bagi peruntukan pertuduhan pemecatan (impeachment) diwujudkan bagi membolehkan tindakan eksekutif dicabar.

Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata perdana menteri dan anggota kabinet perlu dikawal selia oleh mekanisme yang berkesan di negara luar, seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan, yang membuatkan presiden “gerun” jika terpalit skandal.

Beliau memberikan contoh bagaimana Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye sedang bertarung dalam parlimen selepas dikaitkan dengan beberapa isu salah guna kuasa yang berkaitan kepentingan awam.

“Lebih menarik juga, Presiden Donald Trump turut mengundang dirinya sendiri untuk dilakukan impeachment oleh ahli-ahli kongres akibat daripada polisinya menghalang orang dari tujuh buah negara Islam memasuki Amerika Syarikat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Salahuddin, pertuduhan pemecatan tidak diperuntukkan dalam mana-mana akta atau peraturan di Malaysia dan mungkin hanya boleh dilakukan jika perlembagaan dipinda atau Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat diolah semula.

“Kelebihan undang-undang impeachment ialah memberikan kuasa kepada parlimen untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kuasa perdana menteri dan jemaah menteri sekiranya mereka terlibat dengan pelbagai skandal salah guna kuasa.

“Ini juga akan mengangkat wibawa dan integriti parlimen di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekarang ini, usaha menyingkirkan perdana menteri cuba dibuat melalui usul undi tidak percaya di parlimen.

Lihat Komen