malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pemimpin akar umbi DAP tak gembira dengan Kit Siang, Guan Eng'
ADS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata peletakan jawatan empat wakil rakyat DAP Melaka
membuktikan pemimpin akar umbi parti itu tidak gembira dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata rasa tidak puas hati terhadap Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng nampaknya kini telah mencapai kemuncaknya.

Kredibiliti dan integriti DAP dan Pakatan Harapan, katanya telah terjejas sejak dua tahun lepas berikutan pakatan yang wujud antara Dr Mahathir dan Kit Siang.

"Semua kejayaan yang dicapai pembangkang pada 2008 dan 2013 bakal hilang pada pilihan raya umum akan datang," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau dalam sskeruak.blogspot.my malam tadi.

Menteri itu berkata Dr Mahathir dan Kit Siang "telah menunjukkan kekurangan prinsip dan moral mereka apabila mereka kini saling sepakat, sedangkan sebelum ini mereka banyak mengutuk dan mengkritik antara satu sama lain".

Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Anggota Parlimen DAP Melaka keluar daripada parti semalam.

ADUN berkenaan ialah Lim Jak Wong (Bachang), Cin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) manakala Anggota Parlimen ialah Sim Tong Him (Kota Melaka).

Salleh berkata terdapat juga orang Melayu yang menyokong Pakatan tetapi tidak gembira dengan peranan Dr Mahathir dalam pembangkang.

Beliau berkata tiada siapa yang boleh meragui bahawa Dr Mahathir dan Kit Siang menggunakan agenda politik peribadi dengan mengorbankan kepentingan pengundi.

Salleh percaya pengundi akan menterjemahkan kekecewaan mereka itu pada pilihan raya umum akan datang. -Bernama

Lihat Komen