malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dana IPO Felda: Dedah saja tak cukup, perlu RCI - PKR
Diterbitkan:  Feb 12, 2017 8:14 PM
Dikemaskini: 12:17 PM
ADS

PKR hari ini memuji Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad kerana mendedahkan bahawa RM4.3 bilion yang dijana menerusi tawaran awam permulaan (IPO) Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) tidak dapat dikesan.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, ia tidak akan membawa kesan apa-apa jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak ditubuhkan ke atas Felda.

"Keterbukaan Shahrir dalam mengakui 'kehilangan' RM4.3 bilion itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan tetapi tidak mencukupi jika ia tidak disusuli dengan tindakan tegas.

"Malah, kemasukan Shahrir menyakinkan rakyat Malaysia bahawa RCI yang turut memasukkan wakil ahli Parlimen pembangkang boleh memberi penjelasan lanjut mengenai skandal RM4.3 bilion Felda itu," katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, RCI perlu mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab kepada kerugian besar-besaran, mengesan aliran dana dan langkah-langkah untuk mendapatkan semula dana Felda itu.

"Tidak syak lagi, mereka yang bertanggungjawab dalam skandal ini perlu dibawa ke muka pengadilan," tambah beliau.

Fahmi juga menggesa Shahrir mendedahkan siasatan laporan dalaman Felda kepada orang ramai pada sesi pertemuan di setiap negeri yang terdapat penempatan Felda.

"Ini akan membolehkan para peneroka Felda mendengar sendiri bagaimana ini skandal mega RM4.3 bilion berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," katanya.

Semalam, Shahrir mempersoalkan ke mana baki RM4.3 bilion hasil penyenaraian FGV dibelanjakan.

"Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV iaitu harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion kita belanjakan sebagai durian runtuh.

"Kita sampaikan kepada peneroka dan keluarga mereka iaitu RM15,000 satu keluarga dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

"Jadi RM4.3 bilion ini mana pergi?," katanya, lapor Sinar Harian.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen