PAS nak saman Husam

(Dikemaskini )

PAS sedang bersedia menyaman salah seorang bekas naib presiden parti itu ekoran kenyataan dibuat berkaitan dana RM90 juta.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti terbabit menganggap kenyataan Datuk Husam Musa mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lalu Husam - dalam ceramahnya - mendakwa mengetahui maklumat mengenai dana RM90 juta yang didakwa disalurkan kepada PAS.

Husam yang pernah menjadi naib presiden PAS antara 2011 hingga 2015 sebelum diketepikan oleh perwakilan dalam muktamar PAS.

Pada Mei tahun lalu Husam dipecat daripada PAS atas dakwaan salah laku.

Husam kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dalam ceramahnya, Husam mendakwa ada dana bernilai RM90 juta disalurkan melalui akaun di Affin Bank. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Rakaman singkat video ucapan Husam itu tersebar di media sosial dan dimuat naik di YouTube.

Sarawak Report nak disaman

Husam membayangkan untuk mendedahkan lebih banyak butiran mengenai isu berkenaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu RM90 juta mula dibangkitkan oleh portal Sarawak Report pada Ogos tahun lalu. Ekoran dakwaan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim ketika itu PAS menganggap berita tersebut palsu dan berniat jahat, selain menjadi agenda untuk terus mengaitkan parti berkenaan dengan Umno.

Pada 13 Ogos 2016 Malaysiakini melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dalam masa sebulan.

Menurut Abdul Hadi, PAS akan memfailkan saman itu di England.

"Kita telah membuat keputusan akan membawa kes itu ke mahkamah di England kerana kita difahamkan media tersebut berpusat di sana.

"Kita kenal queen counsel (peguam kanan) yang pernah ada hubungan dengan kita dalam kes sebelum ini.

"Dalam masa terdekat, dalam masa sebulan ini," kata Abdul Hadi.

PAS kemudian dilaporkan menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, pada 13 Disember 2016.

Kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, surat berkenaan dihantar kepada Clare menerusi alamat beliau di London, United Kingdom.

"Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defarmation" itu berkuat kuasa selama tujuh hari bermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016.

"Notis berkenaan turut menyenaraikan tiga perkara tuntutan yang harus diambil tindakan oleh portal berita terbabit," jelas Takiyuddin seperti dipetik Harakahdaily.

Bagaimanapun pada 17 Disember Clare memberitahu Malaysiakini, surat tuntutan yang disampaikan kepadanya dari PAS adalah satu political gesture.

"Saya menganggap tindakan mereka itu sebagai satu political gesture dan satu penyalahgunaan protokol yang mereka mahu eksploitasi," katanya.

Tuan Ibrahim berkata pihak guaman PAS sudah diminta meneliti kenyataan dan tuduhan jahat Husam itu.

"Pihak guaman PAS diminta meneliti kenyataan dan tuduhan jahat ini dan mengemukakan saman fitnah dalam masa terdekat," katanya.


Artikel berkaitan

Share