malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lim saran menteri menuntut dari tiga 'guru'
Diterbitkan:  Feb 8, 2017 4:56 PM
Dikemaskini: 10:23 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mencadangkan tiga guru kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk mengenal lebih lanjut mengenai skandal kewangan kerajaan.

Dalam satu kenyataan media, Lim berkata Salleh perlu ‘disekolahkan’ dengan betul berhubung ‘matapelajaran’ BMF, forex Bank Negara dan skandal 1MDB sebelum beliau memperbodohkan dirinya dalam blog.

Salleh semalam berkata pendedahan kerajaan menerusi 1MDB hanya terhad kepada modal berbayar, yang bermakna bahawa skandal BMF pada 1980-an semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih teruk.

Sehubungan itu, Salleh berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat skandal BMF dan kerugian Bank Negara dalam pasaran tukaran mata wang asing pada awal tahun 1990-an.

Tuntutan itu dibuat selepas Lim dan bekas perdana menteri itu mencadangkan siasatan ke atas BMF dan kerugian forex, turut membabitkan 1MDB.

Lim sehubungan itu, mencadangkan Salleh ‘belajar’ mengenai skandal 1MDB daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pua dalam satu persidangan meja bulat ‘Selamatkan Malaysi’a semalam berkongsi slaid yang mendakwa bahawa pendedahan kerajaan adalah lebih daripada RM39.8 bilion akibat hutang dari bon 1MDB yang dijamin kerajaan - tidak termasuk pinjaman berkaitan Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange.

Pua juga mendakwa bahawa lebih RM24.7 bilion dana awam telah diselewengkan melalui 1MDB.

Sementara itu, mengenai skandal BMF, Lim mencadangkan Salleh agar berguru dengan peguam Chooi Mun Sou.

Chooi adalah antara tiga ahli Jawatankuasa Siasatan BMF bersama bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ahmad Nordin dan akauntan Ramli Ibrahim.

"(Mereka) menghabiskan masa selama dua tahun (dalam inkuiri) dan menghasilkan gambaran paling lengkap berhubung skandal RM2.5 bilion BMF itu - kecurian besar-besaran, penipuan dan pecah amanah wang awam oleh pegawai-pegawai awam yang berkonspirasi dan penyanggak korporat," kata Lim.

Bagi skandal forex, Lim berkata beliau mengenali seseorang yang pengetahuan mengenai skandal itu yang "tiada tandingannya".

Bagaimanapun beliau tidak menamakan individu itu.

"Jika Salleh mahu namanya, saya bersedia untuk menamakannya," kata Lim yang juga adalah Ahli Parlimen Gelang Patah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen