malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Idris: Adakah mereka mahu Hadi tampar Najib?
Diterbitkan:  Feb 7, 2017 12:39 PM
Dikemaskini: 5:33 AM
ADS

Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendedahkan bagaimana presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa golongan “takfiri” (yang suka mengafirkan orang lain) dan "ghuluw" (pelampau).

Idris berkata pemimpin PAS dituduh akan disambar api neraka hanya kerana Hadi memegang tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam program solidariti Rohingya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula, kata Idris, hanya “senyum” ketika melepaskan kapal bantuan makanan ke Myanmar bersama Najib.

“Apakah mereka mahu Tuan Guru Haji Hadi tampar Datuk Seri Najib baru dianggap betul? Huh hebat, tafsir mana mereka belajar. Siapa sebenar golongan takfiri dan ghuluw?” soalnya.

Idris bagaimanapun berkata golongan itu sanggup memejamkan mata apabila pemimpin DAP Lim Kit Siang berswafoto dengan Najib, bergelak ketawa dengan timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi atau berpegang tangan dengan menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

“Kita tidak pernah menjadi isu apabila melihat gambar ini dengan menuduh Lim Guan Eng hendak masuk BN.

“Apabila Lim Kit Siang hendak bekerjasama dengan BN untuk selamatkan negara, kita tidak menjadi isu. Ini menunjukkan PAS matang dan tidak emosi,” katanya.

Idris juga berkata, jika mengikut tafsiran pengkritik PAS itu, sudah tentu ribuan kakitangan kerajaan yang bekerja di Jabatan Perdana Menteri “semuanya masuk neraka”.

“Bukan sahaja condong, malahan (mereka) menjadi tenaga fikir kepada Datuk Seri Najib. Samalah juga ada di kalangan mereka mempunyai saudara mara Umno, apakah mereka tidak disambar oleh api neraka.

“Kerana berbaik dengan orang Umno. Adakah ini ajaran maqasid (syariah). Orang lain tidak boleh, kami boleh?

Dalam tulisan di Harakahdaily, Idris berkata agenda mengaitkan PAS dengan Umno sudah dilemparkan sejak 2008 tetapi perkara itu tetap tidak berlaku.

“Kalau ada anak sekolah, sudah darjah dua. Tetapi PAS masih tidak masuk Umno.

“Sekarang modal baru pula, PAS tidak masuk Umno, tetapi PAS berada sepentas dengan Umno dan tolong-menolong dalam isu sejagat,” katanya lagi.

Lihat Komen