malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dari runtuhan Puncak Purnama kita tanam pokok bunga...
ADS

Pada bekas tapak arca Puncak Purnama yang hasil daripada ilham Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil, kini terjelma sesuatu yang 'baru'.

Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkannya pada Julai 2016, kini yang ada pada lokasi itu adalah satu bulatan dengan garis pusat kira-kira satu setengah meter yang ditanam dengan pokok-pokok bunga.

Keadaan itu jelas mengecewakan anak Syed Ahmad yang menyifatkan tindakan itu sebagai suatu penghinaan terhadap karya bapanya.

"Pada saya, apa yang dia nak buat dengan pokok bunga?

"Kalau diganti dengan arca seni itu OK sikit, tapi ini macam taman rumah saja. Ia sangat memalukan.

“Pada saya ini nampak sangat sikap malas dan tak berfikir panjang terhadap seni dan terhadap benda yang nak diganti. Ini kerja orang tak fikir,” kata Syed Nabil kepada Malaysiakini.

Sepatutnya, kata Syed Nabil, DBKL berbincang terlebih dulu sebelum menggantikan arca Puncak Purnama itu dengan pokok bunga.

“Lain kali nak buat apa-apa, patut bincang dengan orang yang lebih tahu, lebih bertanggungjawab dengan seni. Ini macam kerja cincai sahaja.

“Ia juga bukan satu keputusan yang nampak sangat bukan dibuat oleh international city (bandar raya bertaraf antarabangsa). Sebenarnya Puncak Purnama tak perlu dirobohkan pun," katanya.

Sasterawan Negara Datuk Baha Zain pula berpendapat, mewujudkan sebuah taman bunga sebagai ganti arca ciptaan seni ekspresif seorang seniman sama sekali tidak menghalalkan tindakan melanggar hak moral serta undang-undang seseorang rakyat.

"Implikasinya juga tidaklah lebih baik daripada tindakan authoritarian Donald Trump yang tidak menghormati serta berprasangka terhadap hak kemanusiaan sah bagi orang keturunan lain selepas beliau memegang kekuasaan," katanya kepada Malaysiakini.

Puncak Purnama roboh pada 1 Julai lalu dan menimbulkan kemarahan sebahagian seniman serta aktivis seni.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata arca itu diruntuhkan kepada ia "menyakitkan mata" dan DBKL menerima rungutan daripada orang ramai mengenainya.

"DBKL perlu merobohkannya kerana ia terlalu usang dan tiada cara untuk membaik pulih keadaan arca berkenaan.

“Ia adalah pilihan terbaik kerana ia sudah menyakitkan pandangan dan kita tak mahu ia mengganggu sesetengah orang," katanya kepada media di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2016.

Kerja paling haprak

Untuk rekod Syed Ahmad adalah pelukis yang bernama besar di Malaysia dan diiktiraf sebagai Seniman Negara pada 1995.

Semasa hayatnya beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, sebelum dilantik menjadi pengarah Balai Seni Lukis Negara antara 1983 hingga 1991.

Beliau meninggal dunia pada 30 Julai 2011 ketika pada usia 83 tahun.

Ketika negara bergolak dengan reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri Syed Ahmad menghasilkan logo untuk Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) yang kemudian membentuk Parti Keadilan Nasional.

Bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain, berkata perobohan Puncak Purnama itu memalukan, malah paling haprak dalam konteks Malaysia.

"Lebih biadab lagi Balai Seni Visual Negara (dulu dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara) tidak dimaklumkan tentang tindakan untuk merobohkan sebuah karya seni," tulisnya di Facebook.

Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh pula menganggap tindakan DBKL itu sebagai perbuatan buta seni dan memalukan.

Kata Muhammad, tiada perkataan sesuai untuk mengungkapkan perasaannya apabila DBKL membenarkan Puncak Purnama dirobohkan.

"Saya andaikan mereka ini buta seni," katanya kepada Malaysiakini.

Selain seniman dan pencinta seni Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz turut berasa "amat kecewa" apabila ia dirobohkan.

Seni tak diperhatikan

Bagi kurator bebas, Nur Hanim Khairuddin, berkata tindakan DBKL merobohkan arca itu memang sejak dari awalnya menggambarkan betapa ia sungguh memalukan.

Malah katanya dengan menggantikan ia dengan hiasan bunga turut seolah-olah membodohkan diri sendiri.

“Saya tak dapat komen lebih-lebih, kalau dia dah roboh pun dikira menghina, tindakan ini (menanam pokok bunga) macam nak bodohkan diri sendiri.

“Itu satu pengajaran kepada DBKL dan benda dah terjadi. Di masa depan DBKL kena memikirkan penglibatan golongan seniman dan budayawan apabila nak buat ap," katanya.

Bagi aktivis seni dan penulis, Rahmat Haron, DBKL perlu membuat permohonan maaf kepada keluarga Syed Ahmad Jamal.

“Bila dah jadi taman bunga itu perkara kedua, tapi yang penting kenapa ia dirobohkan? Ini soal maruah.

“Syed Ahmad Jamal bukan orang biasa, dia yang reka kurikulum seni di sekolah. Dia selaku penjawat awam dan juga bekas pengarah Balai Seni Lukis Negara,” katanya.

Kurator seni Intan Rafiza pula berkata tindakan DBKL hanya menunjukkan kelemahan mereka menjadikan seni awam sebagai tarikan pelancongan negara.

“Secara tidak langsung ianya memperlihatkan bagaimana seni awam di Malaysia masih tidak diberi perhatian untuk mendidik orang awam menghargai karya seni,” katanya.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kawasan bekas arca itu lengang dan hanya ditanam beberapa jenis pokok bunga. Turut juga kelihatan sampah sarap serta gelandangan yang menumpang tidur di situ.

Sementara itu Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi DBKL bagi mendapatkan reaksi pihak berkuasa tempatan itu berhubung isu berkenaan.

 

Lihat Komen