malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pulau Pinang tak boleh dijadikan Wilayah Persekutuan'
ADS

ULASAN l Perdebatan mengenai cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan perlu dihentikan.

Ini kerana ia membuang masa dan tidak boleh dilaksanakan.

Saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan lain-lain pemimpin DAP dalam isu ini bahawa mereka tidak boleh menerimanya atas alasan ia adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Malaysia selain daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Perkara 2 (b) Perlembagaan Persekutuan pula menyebut Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah sempadan mana-mana Negeri tetapi ia hanya boleh diluluskan dengan persetujuan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.

Jelas berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini bahawa hanya bahagian tertentu mana-mana negeri sahaja tetapi tidak keseluruhan negeri boleh diambil alih oleh kerajaan persekutuan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan, itu pun dengan prosedur ketat.

Oleh itu, bagi saya isu ini tidak perlu dilanjutkan kerana ia hanya menimbulkan perdebatan tidak perlu sedangkan masa yang ada sepatutnya digunakan untuk memikirkan banyak perkara lain yang lebih berfaedah kepada negara.

Tengku Adnan mungkin melontarkan idea itu atas niat baik, iaitu disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu Pulau Pinang dan untuk memastikan pembangunan di Pulau Pinang akan memanfaatkan semua kaum.

Bagaimana pun, bila jelas cadangan ini didapati tidak boleh dilaksanakan, beliau seharusnya bersegera menariknya balik bagi mengelakkan masa terbuang untuk membincangkannya, walaupun idea sama boleh dibincangkan untuk bahagian tertentu Kedah dan Melaka.

Banyak cara lain boleh dibuat untuk menunjukkan keprihatinan terhadap nasib Melayu Pulau Pinang, termasuk menggembleng kekuatan BN bagi memastikan BN berjaya mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri dari DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Andai difikirkan secara logik, jika cadangan ini hanya membabitkan bahagian tertentu Pulau Pinang sekalipun sudah tentu ia tetap akan ditolak sama sekali oleh kerajaan negeri kerana perbezaan kepentingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mungkin lebih baik untuk pemimpin politik mengkaji dengan teliti terlebih dahulu kebolehlangsungan sesuatu cadangan sebelum mengutarakannya kepada masyarakat umum bagi mengelakkan kredibiliti mereka sendiri terjejas.

Lebih-lebih lagi ini bukanlah kali pertama cadangan Tengku Adnan mendapat reaksi negatif masyarakat umum kerana sebelum ini pun cadangan beliau untuk mengharamkan motosikal dari memasuki bandaraya Kuala Lumpur turut menerima nasib sama.


Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tulisan ini adalah pandangan dan pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen