malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Switzerland denda bank urus akaun syarikat Jho Low
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 9:20 PM
Dikemaskini: 1:25 PM
ADS

Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland (Finma) mengarahkan Coutts & Co Ltd, milik Royal Bank of Scotland, menyerahkan keuntungan haram 6.5 juta francs (RM29.1 juta) yang diperoleh daripada transaksi berkaitan 1MDB.

Finma, dalam kenyataannya hari ini ini, berkata Coutts dengan serius melanggar undang-undang pengubahan wang haram negara itu kerana gagal membuat semakan latar belakang mencukupi terhadap perhubungan perniagaan dan transaksi berkaitan 1MDB.

Pihak berkuasa Switzerland juga berkata sedang berkira-kira melaksanakan prosiding terhadap pekerja-pekerja bank itu yang bertanggungjawab atas transaksi itu.

“Bank itu gagal mengesahkan dengan memuaskan keadaan sekitar beberapa perhubungan perniagaan dan transaksi yang luar biasa besar dan berisiko tinggi.

“Sebagai tambahan, ia tidak membuat penelitian lanjut terhadap maklumat dalaman yang relevan, walaupun ada bukti substantif, gagal melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa Switzerland sehinggalah musim bunga 2015.

“Memandangkan kurangnya kawalan pengubahan wang haram bank itu dalam kes ini, Coutts secara serius telah melanggar tugasnya untuk memastikan amalan perniagaan yang baik,” katanya.

Antara transaksi itu, kata Finma lagi, ialah pemindahan AS$700 juta daripada 1MDB kepada akaun yang dibuka oleh “ahli perniagaan muda Malaysia” pada musim luruh 2009.

Transaksi itu telah diperincikan dalam pemfailan saman sivil 136 halaman oleh Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) yang menyebut AS$700 juta telah dipindahkan daripada Good Star Limited, milik hartawan Pulau Pinang Jho Low, di Coutts.

Langkah itu bertujuan menyita aset yang diperoleh menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

DOJ juga berkata AS$700 juta itu pada mulanya untuk usaha sama 1MDB- PetroSaudi tetapi kemudian menyimpang kepada hartawan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen