malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR sambut baik kerjasama PAS-BERSATU
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 11:50 AM
Dikemaskini: 3:54 AM
ADS

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik pembentukan kerjasama, persefahaman dan muafakat politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Katanya, pertemuan Jawatankuasa Induk Bersama kedua-dua parti ini telah menghasilkan beberapa resolusi positif dalam usaha memeterai muafakat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Perkembangan terbaru ini mempamerkan ciri kematangan dan kepimpinan BERSATU dan PAS dalam kegigihan untuk mencari jalan persamaan demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia,” kata Azmin yang juga adalah menteri besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan itu adalah usaha berterusan yang positif untuk memperkukuhkan sistem dua parti dan menyediakan alternatif yang dinamik, kuat dan viable untuk rakyat menggantikan Umno dan BN.

Azmin berkata PKR akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan BERSATU untuk memperkukuh muafakat dan memperkasa gabungan parti-parti politik progresif, sekaligus menggerakkan rakyat demi kemenangan dalam PRU-14.

“Adalah menjadi tuntutan untuk kita dipimpin dengan kebijaksanaan dan pendekatan inklusif, mengenepikan sikap partisan bahkan perbezaan ideologi supaya dapat membentuk gabungan pembangkang yang utuh dan jitu untuk mengembalikan maruah rakyat dan menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Mesyuarat tertutup

PAS dan BERSATU mengadakan mesyuarat tertutup semalam, tanpa kehadiran presiden masing-masing mahupun Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BERSATU diwakili oleh timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Manakala PAS diwakili oleh timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib Presiden Idris Ahmad.

Mereka kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan kedua-dua parti bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa induk bersama.

BERSATU sedang berusaha memujuk PAS supaya mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru dalam BN dalam pilihan raya akan datang.

Walau bagaimanapun, PAS tidak sehaluan dengan sekutu BERSATU dalam Pakatan Harapan, iaitu AMANAH dan DAP.

Begitu juga, Mahathir menjadikan keadaan lebih tegang dengan PAS, dengan berkata pembangkang tidak memerlukan mereka.

Lihat Komen