malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kadar pengangguran di M'sia bagi 2017 dijangka tak lebihi 3.5%
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 3:53 PM
Dikemaskini: 8:47 AM
ADS

Kadar pengangguran di Malaysia adalah terkawal dan dijangka tidak melebihi 3.5 peratus tahun ini disebabkan oleh kegawatan ekonomi global, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Katanya, Malaysia sentiasa menjadi antara negara yang memiliki kadar pengangguran terendah pada 3.1 peratus.

"Menurut penanda aras Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), apa-apa yang kurang daripada empat peratus masih dianggap sebagai gunatenaga penuh.

"Kerajaan telah menggariskan agenda ekonomi yang dijangka dapat menghasilkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2020 di bawah Rancangan Malaysia ke-11," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memberikan pengiktirafan ke atas pusat sehenti untuk program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada Proton Holdings Bhd (Proton) di Shah Alam hari ini.

Kementerian tersebut, bersama-sama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, telah menganugerahkan Proton akreditasi bagi latihan kemahiran automotif.

Riot berkata Malaysia masih boleh dianggap sebagai sebuah negara yang memiliki gunatenaga penuh.

"Saya percaya jika kadar purata pengangguran purata sebanyak 3.1 peratus ini naik, ia tidak akan melebihi 3.5 peratus.

"Selain itu, memang kerajaan mempunyai agenda untuk menghasilkan lebih banyak kerja baru dan pekerja-pekerja mahir, malahan, perusahaan kecil dan sederhana sekarang ini masih menggaji ramai orang.

"Saya percaya melalui projek-projek seperti Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas dan Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak, kadar pengangguran di Malaysia tidak akan melebihi 3.5 peratus," katanya.

Perangkaan utama terkini bagi tenaga buruh di Malaysia menunjukkan kadar pengangguran pada November 2016 adalah sebanyak 3.4 peratus. Tenaga buruh meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 14.83 juta berbanding dalam bulan sebelumnya.

- Bernama

Lihat Komen