malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ada pihak sabotaj rundingan PAS, BERSATU
ADS

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa ada beberapa pimpinan PAS "mensabotaj" rundingan bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti.

Kata Dr Mahathir, antara pemimpin yang dimaksudkannya ialah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Menurut bekas perdana menteri itu, pemimpin PAS yang bertindak begitu "lebih teruk" daripada Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya tidak dikritik parti berkenaan atas pelbagai isu, termasuk skandal 1MDB.

"Bagi pemimpin itu - mungkin bukan pemimpin lain tetapi yang menyuarakan serangan terhadap saya - bagi dia, yang jahat adalah saya.

"Jadi saya nak tahu di mana saya jahat?

"(Adakah kerana) saya mencuri duit berbilion-bilion, ataupun saya tubuhkan syarikat berbilion-bilion, lepas itu duit hilang; ataupun saya jual negara ini kepada negara lain untuk mereka mengadakan bandar-bandar untuk orang asing ini?" katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Selain Mohd Zuhdi, Dr Mahathir tidak menamakan sebarang tokoh PAS yang dimaksudkannya cuba mensabotaj rundingan kerjasama antara parti itu dengan BERSATU.

Malaysiakini sudah menghubungi Mohd Zuhdi dan sedang menunggu reaksinya terhadap kenyataan Dr Matahir itu.

Pada 22 Januari lalu Mohd Zuhdi mendakwa kenyataan pernah dibuat Dr Mahathir mengeai PAS bukan disebabkan beliau memandang rendah kepada parti berkenaan.

Bertemu PAS awal Februari

Sebaliknya kata Mohd Zuhdi, Dr Mahathir bimbang terhadap pengaruh PAS dan ia adalah sebahagian daripada strategi politik bekas perdana menteri itu.

"Dr Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua perdana menteri yang berada di atasnya, daripada Tunku Abdul Rahman sehingga perdana menteri sekarang.

"Dengan sifat diktator politik inilah Dr Mahathir mencantas semua pimpinan Umno dan timbalan perdana menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Anwar Ibrahim.

"Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah raja-raja Melayu," katanya dalam kenyataan terbuka itu.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, delegasi BERSATU diketuai timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan bertemu wakil PAS untuk membincangkan pendirian parti berkenaan terhadap cadangan membentuk gabungan rasmi pembangkang.

Pertemuan itu, katanya, akan diadakan pada 2 Februari ini.

Mukhriz pula memberitahu BERSATU sudah menghantar draf rangka kerja persefahaman untuk diteliti dan menjangkakan reaksi mereka pada pertemuan akan datang.

Kata bekas menteri besar Kedah itu, draf berkenaan adalah sama seperti yang ditandatangani BERSATU dengan Pakatan Harapan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen